Pengganti Vios dijangka guna pelantar DNGA, muncul Q3 2022

oleh Mohamad Hanif|
Sedan Toyota Vios yang sangat popular di Malaysia ini sebenarnya sudah pun dua generasi menggunakan pelantar yang sama sejak tahun 2007 sehinggalah sekarang, iaitu Toyota B Platform di mana ia turut digunakan untuk model-model seperti Toyota Vitz, Toyota Sienta, serta Toyota Prius C.

Yang pasti, sudah sampai masanya untuk Toyota menggantikan sedan tersebut dengan penawaran yang lebih moden, dan menurut laporan terbaharu pengganti Vios dikatakan bakal muncul tidak lama lagi.

Menurut informasi yang dipetik daripada AutoIndustriya, sedan Vios generasi keempat membawakan kod dalaman D92A, satu perubahan dan anjakan besar jika dibandingkan dengan kod XP yang digunapakai pada sedan segmen B Toyota itu pada ketika ini.
 

DNGA


Penggunaan huruf D pada kod D92A itu mencadangkan Toyota akan menggunakan pelantar baharu DNGA (Daihatsu New Global Architecture) untuk Vios generasi keempat, seperti mana yang kita tahu merupakan versi 'kembar' kepada pelantar Toyota New Global Architecture (TNGA).

Sudah pasti terdapat perubahan yang besar bakal dibawakan oleh Vios generasi baharu menerusi penggunaan pelantar baharu ini, seperti dinamik pemanduan yang lebih menyeronokkan, penjimatan berat keseluruhan, struktur casis yang lebih tegar serta ciri keselamatan yang dipertingkat.

Setakat ini model kenderaan yang kita ketahui menggunakan pelantar DNGA adalah Perodua Ativa yang merupakan kembar kepada Daihatsu Rocky/Toyota Raize di mana anda boleh lihat sendiri spesifikasi keselamatan yang ditawarkan pada SUV segmen A itu, cukup lengkap untuk sebuah kenderaan di dalam julat harganya.
 

Prius C
Toyota Prius C


Selain daripada itu, Vios generasi baharu itu masih lagi akan mengekalkan penawaran versi petrol yang biasa, namun versi hibrid dijangka akan hadir setahun selepas pelancaran rasmi sedan itu.

Tidak dapat diketahui apakah spesifikasi enjin yang bakal ditawarkan oleh Vios hibrid, namun apa yang pasti Kilang Toyota Bukit Raja kini sedang dalam persediaan untuk menjadi sebuah hab automotif serantau bagi pemasangan kenderaan cekap tenaga termasuk kenderaan hibrid elektrik dengan pelaburan bernilai RM270 juta.

Baca: UMW Toyota bakal pasang kereta hibrid elektrik, labur RM270 juta untuk fasiliti Bukit Raja

Dalam tempoh beberapa tahun akan datang, Toyota Vios hibrid versi pemasangan tempatan (CKD) merupakan antara penawaran yang amat dialu-alukan dalam memperluaskan lagi penggunaan kenderaan yang lebih cekap tenaga, pada harga yang lebih berpatutan di kalangan rakyat Malaysia, sebelum negara beralih kepada penggunaan tenaga elektrik sepenuhnya.

Sumber: AutoIndustriya

Berita Berkenaan

Berita Global
Berdasarkan laporan daripada Headlightmag, Toyota Thailand turut sama mendedahkan sebuah video acah…
Berita Global
Laman web Autolifethailand nampaknya telah pun berjaya mengesan unit ujian Yaris Ativ (nama lain…
Berita Global
Menurut laporan daripada Headlightmag, sedan Vios yang sudah diperkenalkan sejak model pertama…