Sayang sekali, sepanjang tempoh penawaran Lexus LFA tidak pun sekali didatangkan dengan transmisi manual, namun model pengganti LFA dijangka bakal membolehkan pemiliknya menukar gear secara manual.
Itu menurut kata-kata presiden Lexus, Koji Sato dalam satu temubual bersama majalah Top Gear UK.
Seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini, Lexus merancang untuk menawarkan model pengganti LFA dalam bentuk supercar berkuasa elektrik.

Biarpun EV secara lazimnya tidak memerlukan langsung penggunaan transmisi manual, Sato menjelaskan beliau mahu mencari satu jalan supaya supercar EV itu akan dilengkapi dengan tuil gear manual, bagi membolehkan ia menawarkan pemanduan yang lebih mengujakan sama seperti kereta konvensional.
"Ia salah satu hobi saya, untuk mencuba benda yang gila. Saya sedang mencari cara untuk menghubungkan kereta dengan pemandu biarpun di dalam sebuah EV. Ia bukanlah hanya tentang kecekapan. Saya sukakan kereta dan mahukan sesuatu yang berbeza.
Ini merupakan salah satu aspek yang disentuh oleh Sato untuk supercar EV pengganti LFA yang masih lagi belum mempunyai nama rasmi.

"Respons yang cepat merupakan salah satu kelebihan motor elektrik, daya kilas yang mengejut itu satu karakter unik pada sebuah BEV - pemandu boleh menjangkakan reaksi yang lebih cepat kepada input mereka," ujarnya lagi.
Sato turut mendedahkan beberapa angka penting berhubung supercar baharu ini, seperti pecutan 0-96 km/j di bawah julat dua saat (lebih pantas berbanding Lexus LFA 3.7 saat), serta jarak gerak sejauh 700 km menggunakan teknologi bateri keadaan pejal (solid-state battery).
Ujarnya lagi, model supercar elektrik itu juga akan menampilkan ciri seperti torque vectoring untuk pengendalian yang dipertingkat, serta sistem stereng steer-by-wire.

Salah satu ciri unik yang ada pada LFA adalah casis yang ringan, terima kasih kepada penggunaan bahan gentian karbon.
Menurut Sato, "kami sedang melihat kepada apa yang ditinggalkan oleh LFA dan mungkin akan menggunakan bahan (gentian karbon) tersebut apabila diperlukan.
Sumber: Top Gear