Info terbaharu yang datangnya dari penerbitan Jepun Best Car Web mendedahkan pengganti LFA tidak akan hadir dalam versi elektrik semata-mata.
Menurut sumber dalaman yang rapat dengan pembangunan masa depan Gazoo Racing, sebuah lagi model LFA2 bakal muncul pada tahun 2025 dengan membawakan nadi pembakaran dalaman hibrid.
Lexus LFA2 ini akan menggunakan asas daripada plaftorm TNGA-L (Toyota Crown, Mirai, Lexus LC, Lexus LS), sekaligus mengabaikan penggunaan casis gentian karbon yang menjadi 'tulang belakang' pada model asas LFA.
Ia juga menyumbang kepada harga jualan yang jauh lebih munasabah berbanding LFA yang berharga $375,000 itu.
Apa yang lebih mengejutkan adalah penggunaan nadi 4.0 liter V8 turbo berkembar yang bakal mendiami bonet hadapan LFA2, sesuatu yang tidak lagi wujud dalam inventori syarikat tersebut.
Yang tidak disebut dalam laporan tersebut adalah enjin 5.0 liter V8 suapan bahan api hidrogen yang dibangunkan oleh Toyota bersama Yamaha.
Penggunaan nadi berkuasa 444 hp dan 540 Nm ini dilihat bersesuaian untuk dipadankan pada model pengganti LFA, memandangkan kepakaran Yamaha itu sendiri dalam menghasilkan bunyi yang ikonik pada model bernadikan V10 sebelum ini.
Apapun, kita tunggu dan lihat perkembangan projek pengganti LFA ini kelak.
Sumber: Best Car Web