Pengerusi PAC - RM400,000 untuk tiang 'mast' kapal LCS yang hanya untuk 'show'!

oleh SALINA JALIL|
gambar arkib
Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan Kapal Tempur Pesisir (LCS) tercanggih pertama milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang pernah dilancarkan pada 2017 sebenarnya dalam keadaan tidak siap.


Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, berkata berdasarkan prosiding dijalankan, pihaknya mendapati LCS 1 disahkan siap tidak sampai 44 peratus.

 

Justeru, beliau merumuskan bahawa upacara penamaan dan pelancaran LCS terbabit seperti dinyatakan saksi hanya memberi persepsi kepada umum bahawa kapal berkenaan sudah siap.

 

"Ketika prosiding, PAC tanya kepada saksi apa sebenarnya penganjuran majlis pelancaran itu sama ada majlis itu kamu memberikan satu persepsi atau gambaran yang mana kapal ini telah siap.

 

"Dalam gambar (LCS) nampak cantik tetapi sebenarnya ia belum siap. Penjelasan kontraktor dan MINDEF (Kementerian Pertahanan) ialah majlis itu adalah pelancaran (kapal) ke air untuk membuat ujian keseimbangan sama ada okay atau tidak. Kemudian (selepas majlis) kapal itu dimasukkan ke dockyard untuk teruskan pembinaan.

 

"Ia (penamaan dan pelancaran kapal) sebahagian daripada institusi yang dipraktikkan oleh mereka termasuk MINDEF. PAC bangkitkan persoalan apa tujuan majlis pelancaran dilaksanakan adalah jelas sekali orang di luar sana akan ingat kapal ini sudah siap," katanya kepada BH hari ini.

 

Pada 24 Ogos 2017, LCS tercanggih pertama milik TLDM dilancarkan pada waktu itu dan diberi nama Kapal Diraja (KD) Maharaja Lela berlangsung di dermaga Boustead Naval Shipyard (BNS) di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

 

Upacara penamaan dan pelancaran kapal bernilai RM1.5 bilion itu disempurnakan oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim sambil disaksikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

 

gambar arkib

 

Ia adalah kapal pertama daripada enam LCS bernilai RM9 bilion yang dibina BNS dilepaskan buat pertama kali ke perairan pada majlis berkenaan.

 

Mengenai 'mast' atau tiang yang dipasang di LCS 1 ketika majlis berkenaan untuk menunjukkan bahawa kapal itu lebih cantik, Kah Woh berkata kos tambahan yang diperlukan untuk tujuan itu sebanyak RM400,000 seperti dinyatakan saksi.

 

Jelasnya, tiang berkenaan hanya 'olok-olok' yang bukan menjadi sebahagian daripada LCS 1 supaya kapal berkenaan kelihatan lebih 'cantik'.

 

"Upacara itu hanya untuk show (persembahan). Perhatikan juga 'mast' itu sememangnya dibuat BNS yang merupakan tambahan yang memang bukan sebahagian daripada LCS untuk nampak ia lebih cantik.

 

"Kemudian 'mast' itu ditanggalkan dan dibawa masuk ke kilang," katanya.

 

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  TLDM melalui kenyataan dikeluarkan Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut, berkata…
Berita Domestik
  “PAC memandang serius perkara ini memandangkan sehingga Oktober 2020, sejumlah RM6.083 bilion…
Berita Domestik
Laporan dari PAC memaklumkan bahawa syarikat tersebut ialah firma swasta yang dikaitkan dengan…