Pengeluar cip semikonduktor Malaysia sukar penuhi permintaan tinggi - laporan

oleh Mohamad Hanif|
Krisis kekurangan bekalan cip semikonduktor mungkin boleh diatasi menjelang akhir tahun ini sekiranya lebih ramai pekerja dibenarkan untuk kembali ke kilang setelah lengkap suntikan vaksin, menurut presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia, Wong Siew Hai.

Sehingga kini, pengeluar cip semikonduktor di Malaysia masih lagi sukar untuk memenuhi kadar permintaan yang tinggi, dan keadaan bertambah buruk akibat peningkatan kes jangkitan COVID-19 ketika pengeluar kenderaan, peranti pintar dan peralatan perubatan meningkatkan kadar output pengeluaran.

"Berdasarkan data, kami menjangkakan situasi akan menjadi bertambah baik, namun ia masih lagi belum cukup untuk memenuhi permintaan yang tinggi," ujar beliau lagi.

Malaysia dikenali sebagai negara yang menempatkan kilang-kilang syarikat semikonduktor utama global seperti STMicroelektronics dan Infineon, merangkumi 13 peratus daripada proses pengujian pemasangan cip serta pembungkusan global.

Sebanyak tujuh peratus daripada perdagangan semikonduktor dunia perlu melalui Malaysia terlebih dahulu untuk proses tambah nilai di kilang tempatan, atau digandingkan dengan komponen lain sebelum dieksport.

Semenjak Jun lalu, pelaksanaan Sekatan Perjalanan Penuh mengakibatkan penutupan hampir kesemua industri sebelum pihak kerajaan melonggarkan kembali sekatan dengan membenarkan beberapa sektor ekonomi kembali beroperasi.

"Kekangan yang dihadapi ketika Jun dan awal Julai kini mulai berkurangan dan lebih banyak jumlah produk yang boleh dihantar disebabkan kami dibenarkan beroperasi pada tahap peratusan yang lebih tinggi," tambah Wong lagi.

Beliau mengakui agak sukar untuk menilai impak yang dihadapi, namun kerugian jualan dianggarkan benilai bilion Ringgit Malaysia.

Eksport barangan elektrik dan elektronik adalah bernilai US$92 bilion merangkumi 39.4 peratus daripada jumlah eksport keseluruhan Malaysia tahun lalu.

Terdahulu, Ford dalam satu kenyataan dilaporkan mahu menghentikan sementara produksi Fiesta disebabkan masalah bekalan cip semikonduktor dari Malaysia yang terjejas.

Malah, pengeluar seperti Toyota dan Nissan juga turut mengumumkan pengurangan sasaran pengeluaran tahunan disebabkan masalah yang serupa.

Sumber: The Edge

Berita Berkenaan

Berita Global
Generasi baharu yang diperlihatkan secara rasmi beberapa bulan yang lalu kini menjadi salah satu…
Berita Global
Dalam satu hantaran di forum Bimmerfest, seorang pengguna forum mendedahkan BMW sudah pun memulakan…
Berita Global
Ketika bercakap kepada Reuters, ketua pegawai operasi global Hyundai Jose Munoz menjelaskan…