Pengeluar China mahu hasil bateri dengan jarak operasi 1,000 km menjelang 2024

oleh Mohamad Hanif|
Syarikat pengeluar bateri dari China, Envision AESC Group merancang untuk membina bateri yang mampu membenarkan pemanduan EV sejauh 1,000 km menjelang 2024.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Nikkei Asia melaporkan Envision akan membina sebuah fasiliti baharu terletak di Ibaraki Prefecture, Jepun bagi menghasilkan bateri baharu.

Kilang ini akan dikuasakan secara eksklusif menggunakan tenaga solar dan tidak akan membebaskan emisi karbon ke atmosfera.

Tidak seperti bateri sedia ada, pembangunan bateri baharu ni akan membolehkan sel-sel bateri dipakejkan dengan lebih rapat, selain meningkatkan kadar kecekapan penyimpanan tenaga dan mengurangkan masa pengecasan sekitar 30 peratus kepada kurang 20 minit.

Envision juga dilaporkan akan menggandakan bilangan sel bateri yang dikatakan mampu meningkatkan jarak operasi, namun ia juga bakal menjadikan kenderaan elektrik lebih berat berbanding kebiasaannya.

Sebagai makluman Nissan memegang sebanyak 20 peratus saham di dalam syarikat tersebut dan selebihnya dipegang oleh Envision Group.

Kira-kira 90 peratus bateri yang dihasilkan oleh Envision digunakan pada Nissan LEAF, namun menurut ketua eksekutif Envision Shoichi Matsumoto berkata, mereka merancang untuk mendapatkan kontrak pembekalan bateri kepada pengeluar automotif Jepun, China dan Eropah pada masa akan datang, dan berharap 50 peratus daripada jumlah transaksi pada tahun 2025 datangnya daripada pelanggan baharu.

Sumber: Nikkei Asia