Penganalisis - Malaysia perlu waspada jika harga minyak jatuh bawah AS$40 setong

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Paras harga sekitar AS$50 setong kini dilihat sebagai asas baharu minyak mentah dunia, manakala paras bawah AS$40 setong wajar dianggap sebagai senario ujian tekanan yang mesti diberi perhatian Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif FSG Corporate, Dr Anthony Dass, berkata paras asas harga baharu itu menggambarkan pasaran minyak global sedang memasuki fasa lebihan bekalan yang semakin jelas.

"Sekiranya penurunan ke bawah AS$40 berlaku, Malaysia mesti menyeimbangkan usaha menyokong perniagaan dan pertumbuhan ekonomi dengan disiplin fiskal serta pembaharuan struktur," katanya kepada Berita Harian.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kebangsaan Persatuan PKS menegaskan, kerajaan dan industri sama-sama perlu lebih bersedia dan cekap untuk beralih arah sama ada ke bidang hiliran, tenaga boleh diperbaharui atau teknologi rendah karbon.

Katanya, dengan merancang untuk kedua-dua senario iaitu asas (AS$50 setong) dan ujian tekanan (bawah AS$40 setong), Malaysia dapat melindungi ekonomi daripada risiko segera, sambil menyediakan asas bagi masa depan yang lebih mampan serta berdaya saing.

"Kerajaan mesti mengambil pendekatan realistik dan berhati-hati, tanpa terlalu bergantung kepada dividen PETRONAS atau andaian harga minyak tinggi kerana ia berisiko jika pasaran global berubah mendadak.

"Belanjawan juga perlu disusun secara konservatif, dengan mengambil kira kemungkinan harga minyak kekal rendah untuk tempoh panjang, sekali gus mengelakkan tekanan fiskal berpanjangan," katanya.

Beliau memberi contoh, jika harga Brent jatuh ke paras rendah AS$50 menjelang 2026, kesannya akan dirasai oleh pengeluar dan pelantar luar pesisir.

"Risiko projek baharu akan ditangguhkan kerana pelabur khuatir pulangan tidak mencukupi, manakala platform lama dengan kos operasi tinggi juga berisiko untuk ditutup.

"Pada masa sama, sektor penapisan mungkin mendapat manfaat sementara daripada kos bahan mentah yang lebih murah. Namun, jika permintaan kekal lemah dan stok global terus meningkat, margin keuntungan tetap tertekan," katanya.

Dass menjangkakan keadaan itu boleh membawa kepada pengurangan perbelanjaan modal, penutupan operasi secara terpilih serta peralihan kepada penggunaan teknologi yang lebih efisien.

Bagi mengurus turun naik itu, beliau mencadangkan penubuhan Tabung Penstabilan Komoditi bagi menyimpan lebihan hasil ketika harga tinggi untuk digunakan semasa harga rendah.

"Langkah ini mesti disokong dasar fiskal konservatif, pembaharuan subsidi lebih bersasar serta pengukuhan asas hasil negara tanpa bergantung sepenuhnya kepada cukai minyak," ujarnya.

Beliau menambah, Malaysia perlu memberi tumpuan kepada insentif khusus yang mendorong pertumbuhan nilai tambah industri dalam konteks Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) , di samping tadbir urus simpanan negara yang telus.

"PKS (perusahaan kecil dan sederhana) dan tenaga kerja tempatan juga perlu dilindungi melalui sokongan kewangan serta latihan semula supaya ekosistem industri lebih berdaya tahan, sekali gus memacu peralihan ekonomi ke arah lebih mampan," katanya.

Industri boleh bertahan, katanya, hanya jika keseluruhan ekosistem diperketat dan diperkasa dengan vendor, kontraktor dan pengendali kapal sokongan perlu berkongsi sumber, melicinkan logistik serta menyeragamkan kontrak.

Beliau berkata, perjanjian baharu juga mesti lebih fleksibel dan disandarkan kepada harga minyak, supaya syarikat kecil tidak gulung tikar apabila harga menjunam.

Menurut laporan Reuters, Goldman Sachs menjangkakan harga niaga hadapan Brent susut ke paras rendah AS$50 setong menjelang akhir 2026 berikutan lebihan bekalan minyak tahun depan.

Bank pelaburan AS itu menganggarkan lebihan minyak global akan mencecah purata 1.8 juta tong sehari dari suku keempat 2025 hingga suku keempat 2026, sekali gus meningkatkan stok global hampir 800 juta tong menjelang akhir 2026.

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata syarikat minyak dan gas perlu bersedia menghadapi perubahan drastik termasuk proses penggabungan dan pengambilalihan (M&A).

"Kita pernah melihat proses M&A dalam sektor perbankan selepas Krisis Kewangan Asia 1997-1998, yang akhirnya mengukuhkan kedudukan kewangan institusi perbankan. Ia satu pengajaran yang boleh diaplikasikan dalam sektor minyak dan gas," katanya.

Berita Berkenaan

Berita Global
Kenaikan itu menjadikan harga RON95 dan diesel di negara hab pembuatan itu, masing-masing meningkat…
Berita Domestik
Namun, pada masa sama, beliau menegaskan, kerajaan tetap memberi tumpuan kepada kesan terhadap…
Berita Domestik
Menurut laporan strategi MBSB Research, operasi ketenteraan AS di Venezuela, yang memiliki rizab…