Penerbangan tambahan, tambang bersubsidi musim perayaan

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Malaysia Aviation Group (MAG) menerusi Malaysia Airlines dan Firefly menyokong peningkatan permintaan perjalanan menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha, Kaamatan dan Gawai akan datang dengan menawarkan tambang bersubsidi bagi laluan terpilih ke Malaysia Timur.

Bagi menampung tempoh perjalanan puncak itu, Malaysia Airlines akan mengendalikan tambahan 62 penerbangan merentasi laluan berpermintaan tinggi termasuk Kota Bharu, Labuan, Tawau, Sandakan, Kuching, Sibu dan Miri, sekali gus membantu lebih ramai rakyat Malaysia pulang bertemu keluarga tersayang sempena musim perayaan.

Bagi memastikan akses perjalanan yang lebih mudah sepanjang musim perayaan dan cuti sekolah, kedua-dua syarikat penerbangan itu turut menyokong inisiatif perjalanan perayaan kerajaan dengan mengehadkan tambang asas kepada RM499 sehala bagi laluan terpilih ke Malaysia Timur.

Tambang istimewa ini ditawarkan untuk pembelian mulai sekarang hingga 31 Mei 2026. Penumpang boleh menikmati tambang khas untuk perjalanan antara 26 hingga 29 Mei 2026 bagi penerbangan Malaysia Airlines ke Kota Kinabalu, Labuan, Sandakan dan Tawau, serta penerbangan Firefly terpilih termasuk ke Kota Kinabalu dan Tawau.

Bagi penerbangan ke Sarawak pula, tambang terpakai untuk perjalanan antara 28 hingga 31 Mei 2026 ke Kuching, Miri dan Sibu melalui Malaysia Airlines, serta laluan Firefly terpilih termasuk Kuching.

Menurut MAG, penumpang yang menggunakan perkhidmatan Malaysia Airlines dan Firefly boleh menikmati pengalaman perjalanan yang selesa dan menyeluruh, disokong pelbagai kemudahan bagi memastikan perjalanan lebih lancar.

foto hiasan

"Kedua-dua syarikat penerbangan menyediakan bagasi daftar masuk percuma, hidangan ringan dalam penerbangan dan pilihan fleksibel untuk menukar penerbangan bagi kategori tambang tertentu," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, ia berkata Firefly turut menawarkan kemudahan tambahan dengan penerbangan beroperasi dari Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang (SZB).

Katanya, penumpang yang membuat sambungan penerbangan dengan Malaysia Airlines juga boleh menikmati kemudahan daftar masuk bagasi terus ke destinasi akhir serta hidangan percuma, bagi memastikan pengalaman perjalanan yang lebih mudah dan lancar dari awal hingga akhir.

"Mereka yang mahukan lebih fleksibiliti dan kemudahan tambahan boleh memanfaatkan nilai lebih menerusi tambang Flex yang ditawarkan kedua-dua syarikat penerbangan," katanya.

Tambang Flex Malaysia Airlines merangkumi perubahan tempahan tanpa had dan pilihan bayaran balik (tertakluk kepada caj serta perbezaan tambang), bersama elaun bagasi daftar masuk 35 kilogram, pemilihan tempat duduk standard, kelayakan naik taraf menggunakan Mata Ganjaran Enrich, diskaun 25 peratus bagi tambang kanak-kanak serta pertukaran penerbangan hari sama secara percuma.

Sementara itu, tambang Flex Firefly menawarkan perubahan penerbangan tanpa had (tertakluk kepada perbezaan tambang), bagasi daftar masuk 30 kilogram, hidangan panas percuma, pemilihan tempat duduk dan keutamaan menaiki pesawat bagi pengalaman perjalanan yang lebih lancar.

MAG berkata, ia kekal komited dalam menghubungkan rakyat dan komuniti di seluruh negara sepanjang sambutan Hari Raya Aidiladha, Kaamatan dan Gawai, selain menyokong usaha nasional untuk menjadikan perjalanan udara lebih mudah diakses — khususnya ketika musim perayaan penting apabila ramai rakyat Malaysia pulang ke kampung untuk bertemu keluarga tersayang.

Katanya, komitmen ini disokong oleh operasi yang konsisten, standard perkhidmatan yang boleh dipercayai serta fleksibiliti pelanggan yang lebih baik di seluruh rangkaiannya.

"Dengan penambahbaikan berterusan dalam prestasi operasi dan proses di lapangan, usaha ini bertujuan memastikan pelanggan dapat melakukan perjalanan dengan lebih yakin dan tenang sepanjang musim perayaan," katanya.

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut Malaysia Aviation Group (MAG) dalam satu kenyataan, pada Selasa, penerbangan ke Doha (DOH)…
Berita Domestik
Menurut MAG, dalam fasa awal peralihan, penjenamaan MASwings mungkin masih kelihatan sementara…
Informasi
Secara kolektif, sasaran itu direka untuk memperkukuh daya tahan kewangan jangka panjang MAG,…