Penerbangan Ipoh-Langkawi digantung sementara

oleh Hamimah Hamid|
LALUAN penerbangan Ipoh ke Langkawi di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh digantung buat sementara waktu.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, tempoh penggantungan itu dilakukan syarikat penerbangan AirAsia dan pihak LTSAS sendiri.
AION MREC Banner Campaign May 2024

Menurut Sze Yee, pengoperasian semula laluan penerbangan itu masih belum dikenalpasti dan memerlukan kajian daripada pihak-pihak tersebut.

 

“Sebarang laluan adalah di bawah bidang kuasa syarikat penerbangan dalam menentukan potensi laluan baru di LTSAS ke lain-lain destinasi atau sebaliknya dan juga dengan kerjasama dan kelulusan kerajaan Persekutuan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Steven Tiw Tee Siang (DAP-Tronoh) yang bertanyakan tentang laluan tersebut dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Ipoh, hari ini.

 

Sze Yee berkata, buat masa ini, syarikat penerbangan yang beroperasi di LTSAS adalah AirAsia dan Flyscoot.

 

Selain Langkawi, LTSAS turut menyediakan penerbangan domestik ke Johor Bahru selain penerbangan antarabangsa Singapura ke Ipoh.

 

Sebelum ini, AirAsia menawarkan penerbangan Ipoh-Langkawi-Ipoh dengan kekerapan penerbangan tiga kali seminggu iaitu pada Jumaat, Ahad dan Rabu.

 

Penerbangan pertama berlepas dari LTSAS pada 17 September 2021 melibatkan 141 orang termasuk 23 kanak-kanak menggunakan pesawat Airbus A320.