Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr. Taweesin Visanuyothin berkata pengembara asing masih perlu menunjukkan bukti mereka sudah divaksin atau menunjukkan keputusan ujian Covid-19 negatif bagi yang tidak atau belum lengkap divaksin.
“Pengembara asing tidak lagi perlu membeli polisi insurans Covid-19 minimum US$10,000 (RM44,020)” katanya pada sidang media pada Jumaat lalu.
Sementara itu, Taweesin berkata arahan memakai pelitup muka juga akan digugurkan kecuali di tempat yang sesak dan tidak mempunyai pengudaraan yang baik.
Pelitup muka diwajibkan di khalayak ramai di Thailand, termasuk di kawasan terbuka, sejak pertengahan 2021 untuk mengekang penularan Covid-19.
Taweesin berkata pusat hiburan akan dibenarkan beroperasi sehingga 2 pagi berdasarkan peraturan pra-pandemik.
Pelonggaran langkah-langkah itu akan berkuatkuasa sebaik sahaja pengumuman rasmi disiarkan dalam Warta Diraja.
Bagi memulihkan industri pelancongannya, mulai 1 Jun, pelancong asing yang lengkap divaksin bebas melancong ke mana sahaja di Thailand.
Selain itu, pelancong asing yang tidak atau belum lengkap vaksinasi tidak perlu menjalani kuarantin mulai 1 Jun, tetapi mesti memuat naik bukti keputusan RT-PCR negatif atau ATK profesional dalam tempoh 72 jam perjalanan menerusi Pas Thailand.
Dengan pelonggaran sekatan Covid-19 di negara itu, Thailand dijangka menerima tujuh hingga 10 juta pelancong asing tahun ini.
Dari 1 hingga 15 Jun, Thailand menerima 348,699 warga asing. Rakyat Malaysia mendahului senarai dengan 61,486, diikuti India (51,800), Singapura (31,580), Vietnam (18,885) dan Amerika (15,708).
Thailand dikunjungi hampir 40 juta orang yang membelanjakan kira-kira 1.91 trilion baht pada 2019.
Sepanjang 24 jam lalu, Thailand merekodkan 1,967 kes baharu Covid-19 dan 19 kematian. Setakat ini, Thailand mencatat 4,494,880 kes dan 30,422 kematian sejak wabak itu dikesan.