Pencuri geng pecah kereta 'terkantoi', nombor plat motosikal pencuri dicam

oleh SALINA JALIL|
Dua lelaki ditahan polis selepas dipercayai terlibat dengan kes kecurian dalam kenderaan di Tasek Gelugor, Kepala Batas di sini Jumaat lalu.


Ketika kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, mangsa berusia 47 tahun itu dikatakan meninggalkan keretanya dalam keadaan enjin kereta dihidupkan sebelum masuk ke kedai miliknya untuk mengambil payung.
Modenas

 

Difahamkan kedua-dua suspek yang menaiki motosikal telah membuka kereta wanita itu dan mengambil beg tangan serta telefon bimbit sebelum melarikan diri.

 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian berkenaan disedari oleh pekerja mangsa dan beliau dapat mengenal pasti nombor pendaftaran motosikal suspek.

 

"Polis menahan mereka di Lubuk Meriam dan Pokok Sena di sini hari ini serta merampas beberapa barang kes dipercayai hasil kegiatan curi.

 

"Kedua-dua suspek yang berusia 30 dan 32 tahun itu didapati mempunyai 18 dan 15 rekod jenayah lampau. Suspek juga positif dadah jenis methamphetamin," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

 

Noorzainy berkata, ketika soal siasat, mereka mengakui terlibat dengan beberapa kes curi di sekitar kawasan Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Sungai Dua.

 

Katanya, dengan tertangkapnya kedua-dua suspek polis percaya dapat menyelesaikan enam kes kecurian dilaporkan berlaku dalam daerah SPU.

 

"Kedua-dua suspek kini direman sehingga 7 Mei depan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya.

 

 

 

SH

Add new comment