OMODA merupakan siri produk yang disasarkan untuk pasaran global, di mana OMODA 5 merupakan produk pertama di bawah era Chery 4.0.

Dalam pada itu, pihak Chery Malaysia mengumumkan mereka akan kembali aktif di pasaran Malaysia, malah model OMODA 5 ini juga turut disahkan akan memasuki pasaran Malaysia kelak.
OMODA 5 dibangunkan dalam tempoh selama 18 bulan, dan direka untuk memenuhi piawaian global menerusi penggunaan platform global yang mencerminkan idea baharu Chery.

Crossover dengan imej yang ranggi ini bakal memberikan cabaran secara terus kepada pesaing di dalam segmen B seperti Proton X50, Honda HR-V, Hyundai Kona, serta Toyota Corolla Cross.
Dari segi kuasa, OMODA 5 dilaporkan hadir dengan enjin 1.6 liter TGDI yang mampu menjana kuasa setinggi 197 PS dan 290 Nm, dipadankan dengan transmisi DCT tujuh nisbah kelajuan.

Sementara ruang kabin pula menempatkan rekaan skrin berkembar 12.3 inci di dalam satu panel tunggal, diikuti dengan kehadiran tombol penukaran gear dan tempat pemegang cawan pada bahagian konsol tengah.
Dengan harga jualan yang kompetitif (serta sokongan selepas jualan yang lebih baik), tidak mustahil jenama Chery mampu bangkit kembali di tanah air dan memeriahkan segmen crossover.