Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, tidak lama selepas itu suspek beredar, namun datang semula jam 9.13 pagi.
"Ketika datang kali kedua itu, suspek terus memegang pergelangan tangan kiri anggota polis berkenaan dengan kuat menyebabkannya mengalami kesakitan di pergelangan tangan kiri.
"Ekoran itu anggota polis itu dengan bantuan anggota polis lain, anggota Ikatan Relawan Rakyat (RELA) dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di situ menahan suspek di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan.
Katanya, hasil siasatan mendapati suspek adalah kontraktor yang menyediakan pengangkutan buah kelapa sawit dari ladang Sebakong ke Kilang Rinwood Mukah dan memiliki lima lori.
"Suspek bertindak demikian kerana sebelum ini lori miliknya disaman oleh polis ketika sedang membawa muatan buah sawit.
"Suspek ditangkap untuk siasatan lanjut manakala anggota polis dibawa untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan di hospital Mukah," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 323 kanun sama kerana mendatangkan kecederaan.