Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata tindakan lebih tegas itu akan diambil selepas tempoh tawaran kompaun khas dengan kadar rata RM150 bagi tiga kesalahan itu yang bermula awal bulan ini berakhir 30 Jun depan.
Katanya, JPJ akan membuat sekatan urus niaga dan menyenarai hitam pesalah jalan raya terbabit sehingga mereka membayar saman berkenaan.
“Mereka tidak boleh memperbaharui lesen dan cukai jalan kenderaan selagi tidak menjelaskan tunggakan saman.
“Jadi sekarang ini kita beri peluang kepada rakyat Malaysia yang mempunyai saman tiga kesalahan yang ditetapkan itu untuk menjelaskan segera.
“Ada dua juta lagi (saman tidak dijelaskan), masih banyak. Kita tidak akan cari (pesalah jalan raya) tapi kita sekarang dalam tempoh pemutihan, malah masih ramai belum tahu ada kadar kompaun khas ini,” katanya ketika sidang media pada Sabtu lalu.
Dalam pada itu, Aedy Fadly berkata JPJ sudah menerima bayaran tunggakan saman RM12.5 juta sejak tawaran kompaun khas dengan kadar rata RM150 bagi tiga kesalahan terbabit dilancarkan awal Januari lalu.
Bayaran itu, katanya membabitkan 83,000 saman dan pihaknya masih ‘menunggu’ pesalah jalan raya lain untuk melangsaikan kira-kira dua juta lagi saman.
“Kompaun AwAS serendah RM150 sahaja jadi ambil lah peluang ini. Bayaran boleh dibuat melalui kaunter JPJ atau aplikasi MyJpj,” katanya.