Pemilik dakwa kereta dipandu lebih 3,000 km tanpa kebenaran oleh bengkel modifikasi terkenal

oleh Mohamad Hanif|
Kecoh di alam maya apabila seorang pemilik Proton Preve, Alif Hj Zainuddin meluahkan perasaan tidak puas hatinya terhadap sebuah bengkel modifikasi yang agak terkenal di laman Facebook.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Menurut video ringkas yang dimuat naik pada akaun FB, Alif mendakwa beliau amat kecewa dengan kualiti yang dihasilkan oleh syarikat tersebut, biarpun sudah membelanjakan wang sebanyak RM15,000 untuk proses penukaran warna dan pemasangan kit badan.

Kereta itu diserahkan kepada bengkel berkenaan pada 8 Disember 2021 dan pemilik bengkel itu berjanji akan menyiapkan keretanya selepas perayaan Tahun Baharu Cina.

 


Kegagalan untuk menyiapkan kereta tersebut pada masa yang ditetapkan membuatkan pemilik Preve itu cuba untuk mengambil semula keretanya.

Namun, beliau juga turut mendapati kereta Preve berwarna biru itu telah dipandu tanpa kebenaran sejauh lebih 3,782 km daripada perbatuan asal semasa kereta tersebut dihantar ke bengkel, setelah pemilik bengkel memberitahu terdapat masalah pada bahagian enjin.

Alif kemudian turun sendiri bersama-sama seorang mekanik untuk melihat kondisi kereta beliau, dan turut mengesan beberapa kecacatan yang wujud seperti panel papan pemuka patah, antena asal hilang, kualiti cat yang tidak sempurna serta pendawaian lampu dan bampar yang tidak kemas.

 


Berdasarkan laporan polis yang dibuat, Alif mahu mengambil semula keretanya untuk dibaikpulih, namun tindakan tersebut dihalang oleh pemilik bengkel atas alasan belum melangsaikan pembayaran penuh.

Sehingga kini, masih tiada sebarang penjelasan yang dibuat oleh pemilik bengkel berhubung kes ini.