Pemilik bengkel maut ditembak

oleh Hamimah Hamid|
SEORANG pemilik bengkel maut dipercayai ditembak sekumpulan lelaki menaiki dua buah kereta dalam kejadian di hadapan sebuah premis alat ganti kenderaan di Kampung Hutan Kuin di Machang.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa, Mohd. Faiz Zahari, 37 tahun meninggal dunia di tempat duduk pemandu sebuah trak pikap jenis Mitsubishi Triton.
AION MREC Banner Campaign May 2024

Menurut saksi kejadian, Mohd. Zulkarnain Abdullah, 27 tahun, dia menyedari kejadian itu selepas terdengar tiga das tembakan secara berturut-turut.

 

Menurutnya, ketika itu, dia berada di dalam kedai runcitnya yang terletak beberapa meter dari lokasi kejadian.

 

“Saya terus bergegas keluar dan mendapati dua buah kereta memecut laju selepas bunyi tembakan itu.

 

“Saya keluar dari kedai dan menjenguk ke dalam Mitsubishi Triton itu sebelum mendapati seorang lelaki berlumuran darah dan sudah tidak sedarkan diri,” katanya. 

 

Menurut Mohd. Zulkarnain, orang awam yang menyedari kejadian itu terus menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

 

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Zuki Ibrahim, 38, berkata, dia mengetahui kejadian tersebut selepas dihubungi oleh isteri lelaki terbabit yang memaklumkan Mohd. Faiz meninggal dunia.

 

Katanya, dia dimaklumkan anak saudaranya itu yang tinggal di Pasir Puteh datang ke Machang untuk membeli alat ganti kenderaan.