"Pemeriksaan tukar milik di Puspakom hanya RM30, bukan RM500"

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) akan memper­kenalkan inisiatif Customer Appointed Representative (CAR) bagi menangani masalah keha­diran orang tengah yang mengambil kesempatan menipu pelanggan.


CAR adalah wakil sah pelanggan dalam memberikan peluang kepada orang ramai memilih orang tengah atau runner yang benar-benar memberikan per­khidmatan tanpa mengenakan caj tinggi dengan jaminan ‘lulus’ Puspakom.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

 

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom Sdn. Bhd., Mohammed Shukor Ismail berkata, berdasarkan maklum balas diterima, ada pemilik kende­raan sanggup me­labur sehingga RM500 hanya untuk pertukaran nama, sedangkan harga ditawarkan Puspakom ha­nya RM30 bagi pemeriksaan tukar milik dan RM60 untuk sewa beli bagi ken­deraan persendirian dan syarikat.

 

Katanya, semua disebabkan persepsi leceh, susah dan gagal yang telah ‘ditanam’ pada pemikiran orang ramai sehingga ada memburukkan nama Puspakom dengan pemeriksaan lama, selain sukar diluluskan tanpa menggunakan khidmat mereka.

 

“Perlu diketahui, harga kita adalah lebih murah iaitu RM30 bagi tukar nama hak milik. Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Puspakom juga adalah pemeriksaan selesai dalam tempoh sejam.

 

“Berdasarkan rekod, didapati 96 peratus hadir menjalani pemeriksaan selesai dalam tempoh tersebut. Selebihnya adalah disebabkan ketiadaan dokumen serta kenderaan mereka rosak di lorong pemeriksaan sehingga mengganggu operasi pemeriksaan kenderaan lain,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

 

 

Menurutnya, menerusi CAR, pihaknya dapat memantau urusan aktiviti terkini serta rekod pemeriksaan kenderaan yang dilakukan oleh orang tengah atau wakil pelanggan.

 

Ujarnya, Puspakom akan terus menjalankan siasatan terhadap sebarang aduan sekiranya berlaku penipuan atau manipulasi oleh wakil pelanggan yang berdaftar di bawah CAR.

 

Ini termasuk menyekat akaun wakil pelanggan terbabit daripada membuat sebarang janji temu pemeriksaan kenderaan di platform MyPUSPAKOM, sete­rusnya memastikan perkhidmatan diberikan mereka beretika dan telus.

 

 

“Wakil CAR perlu menyatakan caj-caj dikenakan mereka dengan lebih jelas agar pelanggan me­ngetahui caj sebenar pemeriksaan dikenakan Puspakom dan kadar upah diambil orang tengah.

 

“Tanpa mengetahui caj sebenar boleh mengelirukan pelanggan dengan beranggapan semua caj itu dikenakan Puspakom. Jadi, ini mewujudkan persaingan positif dengan pelanggan memi­lih wakil sah benar-benar dipercayai mereka,” katanya.

 

Jelas Mohammed Shukor, sistem ‘wakil sah pelanggan’ ini membenarkan orang te­ngah yang berdaftar membuat janji temu hingga 10 kenderaan sehari.

 

Tegasnya, sistem ini juga dapat mengelakkan isu manipulasi di platform janji temu dalam talian MyPUSPAKOM yang diperkenalkan sebelum ini.

 

Modus Operandi mereka (ulat) ini adalah dengan membuat janji temu dalam talian dengan mengambil slot pemeriksaan yang banyak, sebelum mendapat untung atas angin dengan menjual slot tersebut.

 

“Pelanggan yang tidak dapat slot itu terpaksa mendapatkannya daripada ‘ulat’ ini yang dijual pada harga lebih tinggi daripada harga kategori pemeriksaan ditetapkan Puspakom.

 

“Selepas itu, ketika ha­dir pemeriksaan ulat ini akan memohon untuk menukar nombor kenderaan yang dibuat melalui MyPUSPAKOM kepada nombor kenderaan pelanggan yang sememangnya hadir untuk pemeriksaan,” katanya.

 

Mengulas lanjut, beliau me­ngakui ada menerima aduan daripada orang ramai berhubung kesukaran slot itu hingga terpaksa menunggu tiga minggu kerana dibolot kumpulan tersebut.

 

 

Kosmo

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut beliau, pihaknya akan memanfaatkan pengalaman 30 tahun dalam industri untuk digabungkan…
Berita Domestik
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, penamatan konsesi itu membuka peluang kepada…
Berita Domestik
“Sepanjang tempoh percubaan ini, pelanggan yang ingin membuat pemeriksaan di cawangan Glenmarie…