Pemerhati Rasuah Malaysia - Ujian memandu eTesting perlu dipantau rapi elak objektif tidak terpesong

oleh Penyumbang Rencana|
Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mahu pelaksanaan sistem pengujian lesen memandu secara automasi atau 'eTesting' dipantau rapi supaya objektifnya untuk meningkatkan integriti dan memudahkan proses auditan tidak terpesong.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, berkata amat mustahak sekali penggunaan sistem itu dipantau rapi agar objektifnya tidak terpesong seperti yang sudah pun ditetapkan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Jika pelaksanaan sistem berkenaan diawasi dan dipantau rapi, beliau yakin inisiatif eTesting kelolaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sekolah memandu mampu mengurangkan berlakunya isu terkait integriti dan rasuah dalam proses pemberian lesen memandu.

"Dengan sistem digital ini, terdapat kurang interaksi langsung antara calon ujian dengan anggota JPJ yang boleh mengurangkan ruang berlakunya penyelewengan.

"Menerusi penggunaan teknologi dalam ujian memandu membolehkan proses penilaian berlaku secara objektif dan konsisten dan ini dapat meningkatkan integriti keseluruhan proses, sekali gus memastikan calon dapat dinilai berdasarkan kebolehan mereka, bukan melalui pengaruh atau penyelewengan.

"Ia juga memudahkan pemantauan dan audit terhadap aktiviti ujian memandu. Rekod elektronik yang terperinci membolehkan pihak berkuasa mengesan sebarang keadaan tidak normal atau kejanggalan dengan lebih efisyen, membantu dalam mengesan dan mencegah penyelewengan.

"Bagaimanapun, adalah penting untuk terus memantau pelaksanaan dan memastikan bahawa sistem ini digunakan dengan penuh ketelusan dan keadilan bagi kepentingan semua pihak," katanya kepada Berita Harian pada Rabu. 

Semalam, Kementerian Pengangkutan (MOT) melancarkan projek perintis 'eTesting' yang membolehkan calon menjalani ujian tanpa pegawai JPJ di dalam kenderaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, prestasi calon akan diukur menggunakan alat pengesan dan kamera serta keputusan dijana secara masa nyata sekali gus meningkatkan integriti proses penilaian.

Projek perintis eTesting dimulakan di tiga institut memandu di IM Surfine Hitech, Hulu Langat, Selangor; Pusat Latihan Memandu Berjaya, Ulu Tiram, Johor dan Institut Lima Bintang Abadi, Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Loke berkata, pelaksanaan sistem eTesting membolehkan lebih ramai calon diuji berbanding sistem ujian sedia ada iaitu kira-kira 150 calon pada satu hari.

Malah, Loke berkata, jumlah pegawai penilai JPJ yang bertugas di satu institut memandu juga boleh dikurangkan kepada dua orang berbanding enam orang ketika ini.

Kata Loke, sistem itu dapat meningkatkan integriti, pengeluaran lesen memandu, memudahkan proses auditan dan pemantauan aktiviti ujian secara elektronik.