"Kerajaan negeri Kedah sebelum ini tidak dapat menyelesaikan hutang bekalan airnya kepada kerajaan Pusat selain gagal menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi dan berfaedah.
"Ia memaksa rakyatnya mencari pekerjaan di Pulau Pinang serta negeri-negeri lain," katanya menerusi kenyataan di Facebook, semalam.
Kelmarin, media melaporkan KXP yang dijangka siap sepenuhnya pada 2026 mampu mengubah imej dan status Kedah kepada sebuah negeri berkembang maju.
Muhammad Sanusi dipetik berkata, projek itu juga dijangka memainkan peranan utama dalam industri penerbangan, hab industri halal dan e-dagang termasuk produk farmasi serta pelbagai kategori kargo di rantau Asean.
Lapangan terbang itu juga akan menjadi hab baik pulih industri penerbangan dan pusat operasi bencana serantau berdasarkan kedudukannya di tengah-tengah rantau Asia Tenggara.
Menurut Ramasamy, disebabkan Muhammad Sanusi gagal mengancam Pulau Pinang dengan isu bekalan air, Menteri Besar Kedah itu mungkin menjadikan pembinaan lapangan terbang baharu sebagai hukuman yang setimpal kepada Pulau Pinang.
"Apakah keperluan utama bagi pembinaan lapangan terbang sekarang? Adakah ia bertujuan bagi mencabar Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP)?" katanya.