Pembidaan nombor plat istimewa dihadkan sehingga RM3.5billion!

oleh SALINA JALIL|
Menteri Kerja Raya dan Pengangkutan Kemboja, Sun Chanthol telah melancarkan sistem pembidaan untuk penjualan plat nombor kenderaan peribadi.


Bercakap di majlis pelancaran pada hari Selasa lalu, Chanthol berkata pembidaan akan bermula dari harga di antara dua juta dan lebih daripada satu bilion Riel (sekitar RM2,000 hingga lebih RM1 juta) bagi setiap nombor plat dan akan dihadkan sehingga harga 3.5 trilion Riel (RM3.5bil).

PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

Beliau berkata plat itu akan sah untuk seumur hidup dan pengguna boleh meletakkan nama atau apa sahaja yang mereka inginkan pada plat mereka tetapi ia harus bersesuaian.


"Nombor plat istimewa ini tidak dibenarkan ditulis dengan kata-kata yang menyinggung perasaan samada secara seksual atau nama kuil, nama pemimpin dan institusi utama yang diketahui ramai."


Beliau berkata nombor plat itu boleh digunapakai kepada kenderaan yang berdaftar atau dipindahkan ke kenderaan lain dalam tempoh masa tiga bulan pembelian. Kegagalan untuk mendaftar nombor plat ke kenderaan baharu akan menyebabkan ia dibuka untuk bidaan yang baharu. 


Chanthol berkata plat itu akan tertera "Cambodia" dalam tulisan Khmer di atas plat dan dalam Bahasa Inggeris di bahagian bawah plat. Di bahagian tengah nombor plat akan diletakkan nombor plat istimewa tersebut dengan syarat ia tidak melebihi lapan abjad atau digit dalam bahasa Inggeris.


Kod QR juga akan dimasukkan di sebelah kanan plat, ini adalah untuk membolehkan para pegawai bertugas dapat mengenalpasti sejarah kenderaan, nama dan alamat pemiliknya.


Orang ramai boleh membuat tawaran di sistem pendaftaran kereta automatik dalam talian di vehicle.mpwt.gov.kh. Pembida dihadkan membuat tawaran bidaan pada kadar maksimum 3.5 trilion Riel.

 

Vin Chhun Heat, seorang penduduk yang tinggal di daerah Kamboul, Phnom Penh, menyatakan minatnya terhadap sistem baharu tersebut tetapi memaklumkan bahawa nombor plat tersebut hanya untuk golongan berpendapatan tinggi dan bukan untuk mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.


"Saya fikir ia adalah baik untuk keselamatan dan kita boleh memesan nombor yang kami mahukan, tetapi saya tidak mampu untuk membeli nombor plat ini untuk kereta saya buat masa ini." 


Pengarah Institut Keselamatan Jalan Raya, Kong Ratanak mengakui bahawa nombor plat istimewa itu hanya ditawarkan kepada golongan mewah sahaja.


Beliau berkata teknologi yang digunakan pada plat itu adalah canggih bagi memastikan tiada kerugian atau penipuan. 


"Ia juga adalah cara bagi menambah pendapatan negara. Saya fikir ia adalah tindakan yang baik dari kerajaan untuk membenarkan persaingan ekonomi sejajar dengan permintaan.


"Memandangkan tahap pendapatan rakyat, kebanyakan tidak mampu (plat), jadi mereka hanya perlu menggunakan nombor lama mereka, kecuali kerajaan mempertimbangkan untuk menawarkan kepada mereka (plat peribadi) pada harga yang lebih rendah."

 

 

Sumber: The Star