Pemandu warga emas berisiko tingkat kemalangan jalan raya

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Kira-kira 30 peratus warga emas berusia 60 tahun ke atas dikesan masih memandu secara aktif, terutama di luar bandar sehingga berpotensi meningkatkan kadar kemalangan jalan raya di negara ini.

Ia hasil kajian yang dijalankan Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Jun tahun lalu yang turut mendedahkan, majoriti pemandu lanjut usia didapati memandu berseorangan dengan kekerapan sekurang-kurangnya satu hingga dua kali seminggu.
CHERY TIGGO 7 PRO Launch MREC Banner Campaign June 2024

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan UPM, Prof Madya Dr Law Teik Hua, berkata dalam keadaan usia yang semakin meningkat, risiko mereka menjadi mangsa atau punca kemalangan adalah lebih tinggi.

"Berdasarkan kajian kami yang tertumpu di Semenanjung dengan menemu bual responden di pekan kecil dan bandar menunjukkan banyak kes kemalangan berlaku di luar bandar.

"Di bandar, kemalangan mungkin kurang sedikit mengambil kira jumlah (warga emas) yang memandu sendiri agak kurang, kecuali di lokaliti tertentu, misalnya di Kampung Pandan dan Cheras yang segelintir lagi masih memandu.

"Biasanya warga emas di bandar besar tidak memandu kerana ada anak tinggal bersama atau berdekatan, selain pilihan menggunakan pengangkutan awam dan perkhidmatan e-hailing," katanya kepada Berita Harian.

 

Namun, Teik Hua berkata, berbeza di pekan kecil atau kawasan kampung kebanyakan warga emas masih memandu dengan ada antara mereka melakukan perjalanan sekurang-kurangnya sekali sehari pergi dan balik.

"Di pekan kecil dan kawasan kampung kita dapati sekurang-kurangnya 30 peratus warga emas masih memandu secara aktif, kebanyakannya menggunakan motosikal.

"Ada banyak faktor mendorong mereka terus memandu dan satu daripadanya adalah psikologi, iaitu ada yang rasa masih berupaya memandu.

"Ini berkait dengan ego walaupun mereka sedar sudah lanjut usia dan hadapi pelbagai kekangan fizikal, misalnya pergerakan yang lambat, penglihatan kabur terutama waktu malam atau hujan, pendengaran makin terjejas dan tubuh tidak lagi sihat seperti dulu.

"Justeru, dengan peratusan warga emas yang memandu masih tinggi, tidak hairanlah golongan ini yang banyak terbabit dalam kemalangan, malah ramai warga emas yang juga dikategorikan sebagai orang kelainan upaya (OKU) jadi penyebab nahas lebih tinggi," katanya.

Tambahnya, meskipun banyak nahas membabitkan warga emas secara realitinya ia tidak dilaporkan atas faktor simpati dan enggan memanjangkan kes.

Tiada langkah atasi masalah

Malah, beliau berkata, banyak kes kemalangan juga membabitkan warga emas yang turut membawa kepada kematian, namun belum ada langkah yang benar-benar proaktif bagi menangani masalah itu.

"Sehingga kini, belum ada dasar kerajaan yang benar-benar serius untuk menangani isu membabitkan pemandu warga emas, malah lebih membimbangkan, kita ketika ini menuju ke arah negara menua.

"Sebelum ini, ada cadangan sebuah institusi mahu bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Taiping untuk jadikan Taiping model membangunkan pekan itu supaya bersesuaian untuk orang tua dari segi fasiliti, pengangkutan dan sebagainya. Namun, idea itu sampai sekarang masih tidak berjalan," katanya.

Mengulas sama ada kerajaan wajar mengetatkan permohonan atau pembaharuan lesen warga emas, Teik Hua berkata, ia hanya boleh dilakukan jika kerajaan bersedia dengan kemudahan pengangkutan alternatif khusus untuk pemandu lanjut usia.

"Saya fikir lebih baik (pendekatan) beransur-ansur dilaksanakan seperti di Jepun dan Sweden yang menetapkan pemandu berusia 65 tahun ke atas wajib jalani saringan kesihatan.

"Bagi pemandu 75 tahun ke atas pula, syarat lebih ketat apabila mereka tak dibenarkan lagi memandu tetapi diminta gunakan pengangkutan awam.

"Persoalannya, bolehkah Malaysia buat perkara sama, mungkin masih tak mampu tetapi perlu ada tindakan secara beransur-ansur, misalnya perbaiki perkhidmatan awam terutama bas yang mesra orang tua," katanya.

Malah, Teik Hua mengesyorkan tindakan seperti menarik balik lesen mungkin boleh dilaksanakan jika pemandu warga emas melakukan kesalahan jalan raya berulang.

- sebagai cadangan, dapatkan data statistik yang sahih dari PDRM untuk dapatkan umur pemandu yang menyebabkan kemalangan atau terbabit kemalangan jalan raya -

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Namun, pemenang lesen bagi kad orang kelainan upaya (OKU) masih tertakluk syarat ditetapkan Jabatan…