Pemandu tular memandu di lorong kecemasan disaman polis

oleh Hamimah Hamid|
PEMANDU pacuan empat roda yang tular kerana memandu di lorong kecemasan bermula dari Sungai Dua hingga ke Kepala Batas, Pualau Pinang semalam disaman polis pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner (ACP) Mohd. Radzi Ahmad berkata, suspek lelaki berusia 47 tahun itu disaman selepas hadir ke pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) SPU, pukul 9 pagi tadi.
AION MREC Banner Campaign May 2024

Menurut ACP Mohd. Radzi, lelaki itu tiba bersama kenderaannya untuk memberi keterangan lanjut selepas rakaman video insiden tular di Facebook sejak pagi semalam.

“Lelaki berkenaan dikenakan tindakan saman di bawah Kaedah 53(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 atas kesalahan memandu di lorong kecemasan” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial tindakan seorang pemandu memotong barisan dengan menggunakan lorong kecemasan untuk mengelak menempuh kesesakan luar biasa.

Dalam rakaman video berdurasi hampir dua minit itu, suspek yang membawa kenderaan jenis Toyota Hilux berwarna putih dilihat memandu secara berbahaya dan agak laju di lorong berkenaan.

Rakaman video itu kemudian tular selepas dimuat naik ke dalam laman Facebook DashCam Owners Malaysia.