Pemandu treler sebabkan empat beranak maut mengaku tidak bersalah

oleh Hamimah Hamid|
okt (tengah) diiringi peguam ke lokap
PEMANDU treler yang menyebabkan kematian empat beranak dalam nahas tujuh kenderaan minggu lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas empat tuduhan memandu secara merbahaya.

Tertuduh, Suhaimi Mohd Nor, 34 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Hafiza Ishak.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah memandu sebuah treler dalam keadaan merbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian empat penumpang sebuah kereta.

Penumpang kereta terbabit ialah Rahim Ramli, 60, isterinya Siti Petimah Omar, 59, dan dua anak perempuannya, Nor Nadirah, 28, dan Nor Hamizah, 27.

Kesalahan didakwa dilakukan di Kilometer 277.1, Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan kira-kira jam 2.55 petang, 13 Julai lalu.
 
Suhaimi didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 Pindaan 2020.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda antara RM20,000 hingga RM50,000 serta  hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh lima tahun dari tarikh sabitan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 untuk semua pertuduhan dengan seorang penjamin dari kalangan ahli keluarga dan semua lesen memandunya ditarik sementara menunggu kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 4 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk laporan kimia dan Puspakom.