Pemandu treler didakwa pandu kenderaan bawah pengaruh dadah, rempuh plaza tol

oleh Penyumbang Rencana|
foto kejadian 10 Disember lalu
Seorang pemandu treler mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu kenderaan di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, susulan kejadian merempuh pondok tol di Plaza Tol Kemuning, Lebuhraya Shah Alam (Kesas) minggu lalu.

Tertuduh, Noor Azuan Abdul Rahman, 48, didakwa melakukan kesalahan itu di Lorong Touch 'n Go Plaza Tol Kemuning, laluan dari Klang ke Kuala Lumpur, Lebuhraya Kesas di sini pada 9.11 malam, 10 Disember lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tujuh tahun dan maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM30,000 dan tidak lebih daripada RM50,000, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Akhilah Rosmi menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Noor Azuan yang tidak diwakili peguam merayu supaya jaminan dikurangkan dengan alasan dia perlu menjaga kedua-dua ibu bapanya yang uzur dan anak saudaranya yang masih kecil.

Majistret Ameera Mastura Khamis membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga perbicaraan kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 12 Februari 2026 untuk sebutan kes bagi lantikan peguam.

Bernama sebelum ini melaporkan kemalangan itu membabitkan dua kenderaan yang dinaiki empat wanita, seorang lelaki dan dua kanak-kanak yang kesemuanya terselamat, namun hanya seorang jurutol wanita mengalami kecederaan dalam kejadian terbabit.

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Bagaimanapun, menurutnya, semakan lanjut terhadap lesen memandu suspek mendapati lelaki terbabit…
Berita Domestik
Katanya, lelaki dipercayai pemandu treler didapati memarkir kenderaan beratnya di lorong kecemasan…
Berita Domestik
Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila lori treler membawa muatan kontena berisi baja…