Pemandu Toyota Corolla KE70 terjunam dalam sungai telah dikenalpasti

oleh SALINA JALIL|
Polis sudah mengenal pasti identiti pemandu yang kenderaannya terjunam dalam sungai bersebelahan Jalan Kuching, di sini awal pagi semalam.


Lelaki dikenali sebagai R Linges Raj berusia 23 tahun itu tampil membuat laporan di Balai Polis Trafik Tun H S Lee, di sini pada jam 1.45 tengah hari semalam.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata dalam kejadian pada jam 4.50 pagi, Toyota Corolla KE70 dipandu mangsa dalam perjalanan dari Dataran Merdeka ke Shah Alam.

 

"Mangsa dikatakan gagal mengawal kenderaannya di selekoh di Jalan Kuching sebelum merempuh pembahagi jalan di sebelah kiri.

 

"Bagaimanapun, pemandu sempat membuka pintu dan melompat keluar sebelum keretanya terjatuh dan terjunam ke dalam sungai," katanya dalam satu kenyataan.

 

Mengulas lanjut, Zulkefly berkata, hasil ujian pernafasan dengan menggunakan Evidential Breath Analyzer (EBA) mendapati mangsa tidak mabuk ketika kejadian berkenaan.

 

"Mangsa yang cedera di dahi dan siku kiri kini ditempatkan di Subang Medical Centre untuk rawatan susulan," katanya.

 

Terdahulu, media melaporkan saksi awam mendakwa pemandu kereta terbabit berjaya menyelamatkan diri dan hanya cedera ringan.

 

Mangsa dikatakan beredar dari tempat kejadian sejurus kemalangan untuk ke klinik berhampiran yang tidak dapat dipastikan lokasinya.

 

Orang awam kemudian memaklumkan perkara itu kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menarik kenderaan keluar dari dalam sungai.

 

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam kenyataan, memaklumkan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul dan Hang Tuah melaksanakan kerja mengeluarkan kenderaan itu dari sungai.

 

Corolla KE70
Toyota Corolla KE70

 

 

 

 

BH