Kesemuanya terdapat 35,011 saman melibatkan warga Singapura yang masih tertunggak. Semua saman itu dikeluarkan antara tahun 1990 hingga Jun 2024.
Jumlah denda yang tertunggak daripada saman-saman itu pula adalah RM3.5 juta (S$1.04 juta), lapor Utusan Malaysia.
Terdapat juga pemandu dari Brunei dan Thailand yang belum melunaskan saman trafik yang dikeluarkan ke atas mereka bagi tempoh yang sama. Jumlah saman tertunggak bagi kumpulan itu melebihi 16,100 saman.
Yusri memberitahu Utusan Malaysia bahawa negara itu secara keseluruhan mempunyai 40,962,240 saman trafik dari tahun 1990 hingga Jun tahun ini masih belum dijelaskan, dengan nilai keseluruhannya mencecah RM4 bilion (S$1.19 bilion).
Mereka yang enggan membayar denda mungkin akan disenaraihitamkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Terdapat enam kesalahan di bawah senarai hitam, seperti melanggar lampu merah, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan alat komunikasi semasa memandu, potong barisan, dan memandu melebihi had laju,” jelas Encik Yusri.
Pesalah trafik boleh membayar saman mereka secara online melalui MyBayar, tanpa perlu hadir ke balai polis.
“Jika pesalah adalah warga asing, polis akan mempertingkatkan usaha untuk mengatasi saman yang belum dibayar apabila mereka masuk atau keluar dari negara ini."