Pemandu Prius disaman pasang piring satelit internet pada bonet kereta

oleh Mohamad Hanif|
Pasukan Peronda Lebuhraya California minggu lalu telah menahan seorang pemandu Toyota Prius yang didapati memasang piring satelit di atas hud enjinnya.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menurut hantaran CHP - Antelope Valley, mereka menahan pemandu Prius itu setelah mendapati sesuatu yang tidak kena pada kereta tersebut, dan imej yang dimuatnaik menunjukkan pemasangan piring satelit daripada syarikat penyedia internet Starlink.

Ketika ditanya pegawai polis adakah pemasangan tersebut menggangu medan penglihatan ketika memandu, pemandu tersebut mengakui, "Ia hanya mengganggu ketika saya membelok ke arah kanan."

Berdasarkan laporan daripada CNBC, pemandu tersebut memasang piring satelit Starlink bertujuan untuk menjalankan urusan perniagaan di dalam kereta.

Ia mungkin satu idea yang bijak untuk menggunakannya ketika kereta berada dalam keadaan statik, namun untuk mengekalkan struktur itu ketika bergerak mampu menyebabkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

 


Starlink merupakan syarikat penyedia internet yang dibangunkan oleh SpaceX, syarikat yang dimiliki oleh Elon Musk, dan pada ketika ini mempunyai lebih daripada 70,000 pengguna aktif di 12 buah negara.

Menurut laporan daripada The Verge, SpaceX pada ketika ini tidak mempunyai sebarang kebenaran daripada pihak berkuasa untuk memasang terminal Starlink pada kenderaan bergerak.

Namun begitu, syarikat itu telah menguji keberkesanan ciri capaian ketika bergerak untuk tujuan komersial seperi di dalam kapal kargo, trak besar dan juga kapal terbang penumpang.

Harga untuk langganan bulanan bermula dari $99 (RM411) dan pengguna juga perlu membeli pakej piring satelit Starlink dan penghala Wi-Fi bernilai $499 (RM2,073).