"Siasatan dilakukan mendapati kemalangan itu berlaku kira-kira 9 pagi pada 9 Mei lalu ketika pemandu kereta Perodua Myvi dalam perjalanan dari Jalan TTDI Groove 1/1 menghala ke rumahnya di Taman Jelok Indah selepas membuat kerja penghantaran barangan.
"Sebaik tiba di Jalan TTDI Groove 1/2, pemandu berusia 34 tahun itu memaklumkan mengalami 'microsleep' lalu termasuk ke laluan bertentangan.
"Kemalangan itu menyebabkan kereta dipandunya terlanggar lima kenderaan diletakkan di petak parkir dengan serpihan kenderaan terkena pada seorang pekerja pembersihan yang sedang menyapu jalan berhampiran lokasi," katanya.
Mohd Zaid berkata, semua pemilik kenderaan terbabit selesai membuat laporan kemalangan jam 4 petang, Selasa lalu.
"Pekerja pembersihan itu pula dibawa ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan di Hospital Kajang.
"Pihak polis sudah membuka kertas siasatan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Beliau menyeru kepada semua pihak terutamanya orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu.
"Siasatan terperinci sedang dijalankan pihak polis berkait dengan kejadian ini. Mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu di boleh menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.
Sebelum ini, satu video memaparkan kereta berkenaan melanggar beberapa kenderaan di lokasi terbabit tular di media sosial, beberapa hari lalu.