Pemandu maut, treler terbalik

oleh Hamimah Hamid|
SEORANG pemandu treler membawa muatan diesel maut selepas kenderaan yang dipandu terbabas di KM371.7 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Tanjung Malim malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, mangsa Mohd Nor Afzam, 36 tahun maut di tempat kejadian.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Kemalangan turut menyebabkan trafik sesak sehingga tujuh kilometer (km) arah selatan dan tiga km arah utara.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kajang, Selangor.

"Apabila sampai di lokasi kejadian, mangsa telah membrek mengejut kerana terdapat sebuah kereta dihadapannya menyebabkan kenderaan dipandu hilang kawalan lalu terbabas dan terseret di besi pembahagi tengah jalan.

"Akibat kemalangan ini mangsa mengalami kecederaan di bahagian badan dan meninggal dunia di lokasi kemalangan," katanya. 

Mohd Hasni berkata, kemalangan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa.

"Treler yang membawa muatan minyak hitam dan diesel itu terbabas di pembahagi jalan dan terbalik menyebabkan pemandu tersepit.

"Ketua operasi mengarahkan anggota menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang maut dalam kejadian tersebut," katanya. 

Menurutnya, operasi menyelamat turut dibantu dua unit kren bagi tujuan mengalih kepala lori dan treler sehingga mangsa berjaya dikeluarkan.

Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 2.10 pagi.