Pemandu lori tidak mengaku salah sebabkan kematian anggota FRU

oleh Hamimah Hamid|
PEMANDU lori muatan batu kerikil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini atas sembilan pertuduhan menyebabkan kematian sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam kemalangan di Jalan Chikus - Sungai Lampam pada Selasa lalu.

Tertuduh, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norhamizah Sharifuddin.
PERODUA MREC Banner Campaign May 2025

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah memandu secara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian anggota FRU iaitu Sarjan S Perumal, 44; Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, 46; Koperal Mohd Pozli Jaudin, 41 dan Koperal Nurit Ak Pandak, 34 tahun.

 

Tertuduh turut dituduh dengan tuduhan sama sehingga menyebabkan kematian Koperal Amiruddin Zabri, 38, Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38, Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35, Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33 dan Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28 tahun.

 

Perbuatan itu didakwa dilakukan di KM15 Jalan Sungai Manik, pukul 9.05 minit pagi pada 13 Mei lalu.

 

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM20, 000.

 

Tertuduh juga boleh hilang kelayakan memegang dan mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dari tarikh sabitan. 

 

Hakim membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM6,000 bagi kesemua pertuduhan dan mematuhi syarat-syarat ditetapkan timbalan pendakwa raya iaitu digantung lesen sehingga tamat kes serta melapor setiap minggu di balai polis terdekat. 

 

Kes ditetapkan 17 Jun untuk sebutan semula.