Pemandu Lexus langgar SJR sudah serah diri - Polis

oleh Mohamad Hanif|
sumber: Malaysia Gazette
Pemandu kereta yang tidak berhenti ketika diarahkan berbuat demikian di sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di kilometer 47.8 Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP ) arah Puchong-Cyberjaya menghala Dengkil, Sabtu lalu sudah menyerah diri, semalam.

Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata lelaki tempatan berusia 21 tahun itu menyerah diri pada jam 8 malam selepas abangnya hadir ke balai polis membuat laporan pada 6.30 petang hari sama.

Katanya, dalam laporan dibuat abang suspek yang memiliki kenderaan jenis Lexus itu memaklumkan, adiknya tidak berhenti di sekatan itu kerana takut dimarahi disebabkan memandu dengan lesen tamat tempoh.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan lesen memandu tamat tempoh pada 9 Januari 2021.

"Pemandu terbabit dikenakan saman atas kesalahan memandu kenderaan dengan lesen tamat tempoh," katanya melalui satu kenyataan hari, ini.

 


Semalam, satu klip video berdurasi 30 saat memaparkan, pemandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Lexus berwarna hitam yang diarahkan berhenti untuk pemeriksaan di satu sekatan jalan raya, sebelum bertindak memecutkan kenderaan dipandunya, tular di media sosial dan mendapat perhatian IPD Sepang.

Wan Kamarul berkata, tindakan pemandu memecut kenderaan itu hampir melanggar seorang anggota sedang bertugas ketika berada di lokasi kejadian.

Katanya, anggota bertugas sewaktu kejadian tidak dapat mencatatkan nombor pendaftaran kenderaan berikutan ia dipandu dalam keadaan laju.

"Kertas siasatan kes ini akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan seterusnya," katanya.

Sumber: Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Global
  Video itu dimuat naik dalam akaun Twitter @Tita83079013.   Kelihatan seorang wanita memakai…
Berita Domestik
  "Bagaimanapun, pemandu terbabit bertindak memecut laju dan hampir melanggar anggota polis…
Berita Domestik
  Menurutnya, bagaimanapun tidak ada cara untuk menguatkuasakan cadangan itu kerana SJR tidak akan…