Pemandu jengkaut maut dihempap batu 10 tan

oleh Hamimah Hamid|
SEORANG pekerja kuari maut dihempap batu dianggarkan seberat 10 tan ketika sedang mengendalikan sebuah jengkaut di sebuah kuari di Simpang Pulai.

Dalam kejadian antara jam 12 tengah hari dan 1 petang itu, mangsa berusia 48 tahun yang berasal dari Gerik sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan batu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, polis menerima maklumat kejadian sekitar pukul 4 petang.

 

"Hasil siasatan mendapati mangsa yang menjalankan kerja di tempat kejadian disyaki dihempap batu dianggarkan seberat 10 tan dari ketinggian 25 meter.

 

"Mangsa tersepit dalam kokpit jentera berat terbabit akibat dihempap batu berkenaan," katanya.

 

Menurut beliau, mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak sekitar jam 6.45 petang.

 

Kematian mangsa disahkan oleh petugas kesihatan sebelum dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat.

 

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.