Pemandu CR-V halang ambulans ada masalah pendengaran

oleh Mohamad Hanif|
Pihak polis akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang menghalang sebuah ambulans di Kilometer 292 Lebuh Raya Utara - Selatan arah utara, seperti tular di media sosial hari ini.


Ketua Polis Daerah Kampar Supt Mohamad Nazri Daud berkata pemandu dan pemilik kenderaan telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah pada 5 petang tadi bagi membantu siasatan berhubung insiden tersebut.

"Hasil siasatan lanjut mendapati pemandu kenderaan yang juga seorang lelaki berusia 62 tahun mengalami masalah pendengaran iaitu tinnitus – acoustic neuroma sejak tiga tahun lepas.

"Lelaki berkenaan masih lagi mendapat rawatan lanjut daripada pakar di Pusat Perubatan Universiti Malaya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tular di media sosial mengenai tindakan pemandu SUV jenis Honda CRV yang memandu di lorong kanan sehingga menghalang ambulans di belakangnya yang turut membunyikan siren dan hon sekali gus pemandu ambulans itu terpaksa memotong melalui laluan kiri.

Insiden itu turut menarik perhatian Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang berkongsi video di akaun Twitternya dan menyifatkan tindakan pemandu berkenaan sebagai mementingkan diri.

Sumber: Bernama