"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 5.35 petang itu melibatkan sebuah ambulans dipandu dari arah Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) menghala ke Ulu Kelang.
"Terdapat sebuah kereta jenis Toyota Camry dilihat berada di hadapan ambulans berkenaan dan tidak memberi laluan kepada ambulans yang memasang siren untuk penugasan kecemasan membawa pesakit itu," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Katanya, pemandu ambulans terbabit kemudiannya tampil ke Balai Polis Trafik untuk membuat laporan berhubung kejadian.
"Selain itu, pemandu Toyota Camry yang merupakan seorang wanita berumur 41 tahun turut dibawa sama ke balai berkenaan untuk siasatan lanjut.
"Bagaimanapun wanita terbabit didapati menghadapi masalah psikiatri dan telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur bagi tujuan rawatan serta mendapatkan laporan perubatan," katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik, Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69," katanya.
Pada Jumaat, tular satu video memaparkan aksi sebuah kereta yang bertindak menghalang laluan ambulans.
Video berdurasi seminit itu menimbulkan kecaman masyarakat yang rata-ratanya meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pemandu terbabit.