Pemandu BMW direman kes kemalangan maut 4 kenderaan

oleh Penyumbang Rencana|
foto PDRM
Seorang pemandu kereta jenis BMW direman untuk membantu siasatan kes kemalangan maut membabitkan empat kenderaan di Kilometer 42.5 Jalan Johor Bahru-Batu Pahat, di Pontian, awal pagi Ahad.

Nahas kira-kira jam 1 pagi itu menyebabkan seorang lelaki disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala, manakala tujuh lagi cedera.
CHERY Omoda 5 MREC Banner Campaign March 2025

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib, berkata pemandu lelaki warga tempatan berusia 43 tahun itu direman sehari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, berikutan perlu mendapatkan rawatan lanjut selepas mengaku sakit dada.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kereta BMW itu sedang dalam perjalanan dari arah Jalan Pontian menghala ke Pekan Nanas.

"Setiba di lokasi berhampiran simpang Jeram Batu, Pekan Nanas, BMW itu dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh.

"BMW berkenaan terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung tiga kenderaan membabitkan Proton Saga, Perodua Kelisa dan Perodua Axia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Akibat perlanggaran itu, Mohammad Shofee berkata, seorang lelaki warga tempatan berumur 33 tahun yang memandu Perodua Kelisa terbabit maut.

Beliau berkata, penumpang yang juga isteri mangsa berusia 32 tahun pula mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan patah tangan kanan.

"Turut cedera ialah empat individu yang menaiki Proton Saga dan pemandu Perodua Axia, manakala pemandu BMW itu mengalami bengkak di kepala serta sakit dada.

"Kesemua tujuh individu itu telah dibawa ke Hospital Pontian untuk rawatan lanjut. Mayat mangsa juga dibawa ke Unit Forensik hospital sama untuk bedah siasat," katanya.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati pemandu BMW itu tiada sebarang rekod jenayah dan ujian saringan air kencing mencatat keputusan negatif sebarang dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga 10 tahun dan boleh juga didenda minimum RM20,000 hingga RM50,000," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang ada maklumat berhubung kejadian itu boleh hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian atau menghubungi Inspektor Nurhisyam Syafik Mat Lopa melalui talian 013-9825324 bagi membantu siasatan.

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Kita sebenarnya dalam siasatan lagi dan sedang mencari dia (pemandu), (dipercayai) bukanlah…
Berita Domestik
"Kami masih belum berkesempatan ambil keterangan pemandu Honda Jazz terbabit kerana dia masih…
Berita Domestik
“Hasil siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika Muhammad Amirruldin yang memandu lori…