Pemandu bas bawa murid, guru Pasti langgar pokok dipenjara seminggu, denda RM8,000

oleh Penyumbang Rencana|
Seorang pemandu bas yang melanggar pokok di Universiti Putra Malaysia (UPM) hingga mencederakan seorang guru dan tiga kanak-kanak dijatuhi hukuman penjara seminggu dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di Petaling Jaya pada Selasa.

Mohamad Hamir Masruddin, 44, dikenakan hukuman tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Natasya Mohtarudin.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara bermula Selasa dan lesen memandunya digantung selama lima tahun. Sekiranya gagal membayar denda, beliau boleh dipenjara sehingga tujuh bulan.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Hamir didakwa memandu tanpa mengambil kira semua keadaan termasuk jenis, keadaan dan keluasan jalan serta tahap kesesakan lalu lintas yang ada atau mungkin ada di laluan berkenaan, dengan cara yang membahayakan orang awam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Persiaran di UPM pada jam 12.18 tengah hari, 2 Ogos lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000, serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang daripada lima tahun, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman diringankan atas alasan tiada pekerjaan tetap dan menanggung ibunya yang sakit di kampung.

"Saya cuma pekerja sambilan, kalau ada kerja baru dapat gaji. Ibu saya pula sakit di kampung," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurain Syafiqeen Mohd Rozi pula mencadangkan agar hukuman setimpal dikenakan.

"Tertuduh memandu dalam keadaan cuai dan berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan terhadap empat mangsa," katanya.

 

Utusan Malaysia

Berita Berkenaan

Berita Domestik
JPJ Kedah dalam satu kenyataan berkata, hasil semakan mendapati pemandu lelaki tempatan itu gagal…
Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata susulan insiden itu…
Berita Domestik
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berlaku pada 15 April lalu kira-…