Pelumba Langkawi Legendary Ride maut kemalangan

oleh Qalif Latif|
Seorang peserta acara berbasikal Langkawi Legendary Ride (LLR) maut selepas terbabit dalam kemalangan ketika sedang berkayuh pada perlumbaan itu, pagi tadi.

Mangsa, Low Beng Seng, 28, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dalam insiden yang berlaku kira-kira jam 8.45 pagi di Jalan Kuala Muda.

Langkawi Legendary Ride

 

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, siasatan awal mendapati mangsa sedang menyertai kategori 68 kilometer (Eagle Ride) bersama kumpulan pelumba lain sebelum cuba mengelak daripada bergesel dengan peserta berhampiran.

"Bagaimanapun, mangsa tercampak ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan dari arah hadapan," katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk dibedah siasat.

Shariman berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.