Pelumba Cubprix, Zaidy Zaifaizal maut nahas di LEKAS

oleh Afandi Che Muhamad|
Pelumba Cub Prix, Zaidy Mohamad Zaifaizal Mahendran maut dalam nahas di Kilometer 22.9, Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS) arah utara dekat Pajam, Negeri Sembilan awal pagi tadi.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Memetik laporan Berita Harian hari ini, kejadian berlaku kira-kira pukul 2 pagi.

Ketika kejadian, pelumba pasukan Motul Yamaha YY Pang berusia 27 tahun tersebut dikatakan dalam perjalanan dari Seremban ke Kuala Lumpur.

Isterinya, Nurul Ain Nor Azli, 24, memberitahu dia hanya mengetahui mengenai tragedi menimpa suaminya selepas dimaklumkan kakak ipar pada pukul 2.30 pagi.

"Saya berada di rumah bersama dua anak lelaki berusia lima dan dua tahun di Selayang. Saya terima panggilan daripada kakak ipar memberitahu suami terbabit kemalangan.

"Saya hubungi telefon bimbit suami untuk mendapatkan kesahihan tetapi seorang lelaki menjawab panggilan dan memberitahu suami saya sudah meninggal dunia," katanya yang sarat mengandung anak ketiga lapan bulan.

Tambah Nurul Ain, Allahyarham menjemputnya pulang dari bekerja di Kuala Lumpur sebelum keluar semula untuk bertemu rakan.

Sementara itu, abang sulung mangsa yang mahu dikenali sebagai Zaiernan Hady, 30-an, berkata, Zaidy menghubunginya kira-kira pukul 9 malam tadi dan menyatakan hasrat untuk bersara daripada dunia perlumbaan.

"Arwah juga minta dihalalkan jika ada berhutang. Saya pelik dengan pertanyaan itu tetapi tidak menyangka apa-apa sehinggalah dimaklumkan mengenai kejadian," katanya.

Jenazah dibawa pulang ke kampung halaman mangsa di Batu Feringghi, Pulau Pinang dan telah dikebumikan selepas solat Asar tadi.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin berkata, siasatan awal mendapati motosikal Yamaha Y15ZR ditunggang mangsa gagal dikawal ketika cuba mengelak objek di atas jalan sekali gus menyebabkan mangsa terbabas ke lorong kanan.

Menurut Zaldino, Zaidy disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Careta mengucapkan takziah buat keluarga Zaidy, peminat, kenalan dan pasukan Motul Yamaha YY Pang atas pemergiannya.

(Gambar menunjukkan keadaan motosikal ditunggang Zaidy sejurus terbabit dalam kemalangan awal pagi tadi)

Berita Berkenaan

MotorGP
Ini adalah ekoran pembatalan keputusan Lorenzo Dalla Porta yang menduduki tangga ke-11 setelah…
Berita Global
Adam yang sudah lima tahun berhari raya di perantauan berkata perasaan sedih masih ada dan beliau…
Berita Domestik
Ikuti temubual bersama Duta Rasmi GAZOO Racing yang turut serta berlumba dan berjaya memenangi…