Seperti contoh, Defender 110 SVX yang dipaparkan dalam artikel kali ini.
Difahamkan, untuk penggambaran filem 007 'Spectre', pihak Bowler Motorsport telah mengubahsuai 10 unit Defender dan daripada beberapa unit yang dimusnahkan ketika sesi produksi, hanya tujuh unit sahaja yang masih terselamat.

Salah satu unit Defender berspesifikasi Bigfoot itu kini sedang dilelong oleh Bonhams di acara Goodwood Festival of Speed.
Antara modifikasi yang dibuat termasuklah naiktaraf sistem turbo dan intercooler terhadap enjin 2.2 liter 185 hp yang dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan.
Untuk memudahkan pergerakan, keempat-empat sudut dipasangkan dengan rim 16 inci yang dibaluti tayar off-road 37 inci, dibantu dengan sistem peredam Bilstein.

Memegang erat pemandu adalah tempat duduk Recaro jenis bucket, diikuti dengan abah-abah TRS, sementara bahagian bawah badan pula dilindungi dengan pemasangan skid plate.
Turut dimuatkan pada Defender ini adalah sistem pendingin hawa, tingkap elektrik berkuasa serta unit audio Alpine.
Sebagai sebuah prop penggambaran, terdapat beberapa kesan calar pertempuran pada sesetengah tempat, yang paling ketara adalah di bahagian bed belakang yang mungkin digunakan untuk membawa muatan kelengkapan kamera penggambaran.

Jarak perbatuan hanya 477 km yang dicatatkan membuktikan lagi bahawa Defender ini hanya digunakan untuk penggambaran jarak dekat berkelajuan rendah.
Menurut laman web Bonhams, harga anggaran Defender 'jahat' ini bermula dari £150,000 (RM805,657).
Sumber: Bonhams