Beliau berkata, projek pelebaran itu tidak akan mengganggu aliran trafik kerana dua lorong sedia ada di kedua-dua hala lebuh raya terbabit masih kekal dibuka kepada pengguna.
"Sebelum akhir bulan ini, LLM akan keluarkan surat SST kepada kontraktor yang berjaya menender projek berkenaan.
"Kita jangkakan fasa pertama projek pelebaran laluan Senai Utara-Sedenak akan dapat dimulakan pada penghujung bulan ini juga.
"Projek pelebaran laluan Senai Utara-Sedenak yang membabitkan jarak 21.8 kilometer (km) itu dijadualkan akan siap dalam tempoh 36 bulan.
"Proses tender projek pelebaran fasa pertama untuk pakej kedua juga sedang berjalan dan kita jangkakan kontraktor akan dilantik tahun ini juga," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Paragon Globe Berhad (PGB) dan UOB Malaysia bagi membina taman perindustrian hijau, pada Khamis.
Pada 12 Oktober tahun lalu, kerajaan dilaporkan bersetuju melaksanakan projek pelebaran PLUS daripada empat kepada enam lorong dilanjutkan dari Sedenak ke Simpang Renggam, Johor.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 dilaporkan berkata, projek pelebaran PLUS membabitkan kawasan Johor itu akan dibangunkan dengan kos RM931 juta.
Setakat ini, laluan enam hingga lapan lorong di lebuh raya PLUS dari Kuala Lumpur ke selatan, berakhir di Ayer Keroh, Melaka.
Dalam pada itu, Hasni yang juga Pengerusi Pusat Kelestarian Johor berkata, projek pelebaran Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) daripada dua kepada empat lorong juga dijangka dimulakan awal bulan depan.
Katanya, lantikan kontraktor bagi kerja pelebaran Lebuhraya SDE itu akan dilakukan hujung bulan ini dengan jangkaan projek itu disiapkan dalam tempoh 24 bulan.
"Bagi Lebuhraya SDE, lantikan kontraktor akan dimuktamadkan hujung bulan dan dijangkakan dalam tempoh dua minggu kerja-kerja boleh dilakukan di tapak.
"Pelebaran Lebuhraya SDE bermakna laluan satu lorong dua hala sejauh 26km akan menjadi empat lorong dua hala sekali gus memberi keselesaan kepada pengguna yang semakin meningkat," katanya.