Menerusi program langganan Care by Volvo, pelanggan kini boleh memilih untuk menukar kepada kenderaan baharu setiap empat bulan sekali, berbanding tempoh asal 12 bulan.
Tempoh masa yang disingkat ini bakal menarik perhatian lebih ramai pelanggan terhadap program yang ditawarkan ini, terutama bagi mereka yang mahukan kereta yang bersesuaian dengan musim sejuk atau musim panas.
Seperti contoh, anda boleh memulakan langganan dengan sebuah Volvo XC40, dan bertukar kepada sedan S60 pula empat bulan selepas itu.
Volvo juga turut menjamin para pelanggan hanya akan mendapat kereta baharu ketika proses penukaran dibuat, manakala kenderaan yang terpakai akan dihantar ke dalam inventori pra-milik Volvo sedia ada.
Program Care by Volvo merupakan program pemilikan berasaskan langganan bulanan, di mana yuran yang dibayar itu merangkumi kos kenderaan, penyelenggaraan dan juga insurans.
Disebabkan mendapat sambutan yang terlalu hangat, ada di antara pelanggan di Amerika Syarikat terpaksa menunggu sehingga berbulan untuk mendapatkan model yang dihajati.