Honda dilapor akan melancarkan secara rasmi hatchback pacuan roda depan generasi baharu itu pada tanggal 20 Julai jam 7.00 petang ET atau 21 Julai 2022 jam 10.00 pagi waktu Malaysia.
Setakat ini, spesifikasi rasmi Civic Type R masih lagi belum didedahkan, namun model generasi baharu itu dijangka akan mengekalkan penggunaan nadi empat silinder sebaris 2.0 liter VTEC turbo, namun dengan talaan yang mampu melonjakkan kuasa kepada 320 hp dan 420 Nm.
Sistem transmisi manual masih lagi ditawarkan secara standard.
Berbanding Civic Type R FK8, Civic Type R generasi baharu ini bakal membawakan rupa paras yang lebih sopan, namun dengan rekaan gril yang lebih besar, serta liang kemasukan udara yang dikemas semula.
Selain daripada itu, ia juga turut didatangkan dengan kemasan unik pada hud enjin, roda berwarna hitam, penambahan skirt sisi, serta angkup brek Brembo.
Manakala bahagian belakang pula bakal mendapat komponen sayap kekal, diffuser, rekaan bampar yang unik serta tetapan tiga tip ekzos di bahagian tengah bampar.
Lebih banyak butiran lanjut bakal diketahui menjelang pelancaran rasmi Honda Civic Type R pada minggu depan.