Menurutnya, hala tuju tersebut juga membuka peluang kepada syarikat penyedia perkhidmatan berkaitan untuk berunding dan menjalinkan kerjasama secara perniagaan ke perniagaan (B2B) dengan 33 syarikat konsesi lebuh raya bertol sedia ada bagi merealisasikan pelaksanaan sistem MLFF.
"Sebagai contoh, PNB Prolintas kini sedang melaksanakan proof of concept atau ujian percubaan bersama Touch 'n Go dan CIMB di Plaza Tol Alam Impian, Lebuhraya Kemuning-Shah Alam. Mereka telah memasang gantri dan peralatan berkaitan bagi mencuba pelaksanaan MLFF di lokasi berkenaan,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau menjawab pertanyaan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) mengenai status pelaksanaan sistem kutipan tol MLFF serta langkah penambahbaikan sistem seperti Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) bagi memastikan keberkesanan sistem baharu itu.
"Sesiapa yang tidak membayar tol di lorong MLFF akan dikesan kerana nombor pendaftaran kenderaan yang melalui gantri berkaitan akan direkodkan… ini bermakna mereka yang tidak membayar tol akan dikesan dan diberikan notis.
"Mungkin selepas ini akan ada kaedah tertentu, seperti tidak membenarkan pembaharuan cukai jalan dan sebagainya, itu antara langkah yang sedang dipertimbangkan apabila MLFF dilaksanakan," katanya.
Menjawab soalan tambahan Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) mengenai langkah KKR menangani isu pengguna yang cuba mengelak daripada membayar tol apabila MLFF dilaksanakan, Ahmad berkata, teknologi RFID serta Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR) akan digunakan di lorong MLFF.
Mengulas mengenai penambahbaikan sistem RFID, Ahmad berkata, KKR melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sentiasa memantau prestasi lorong RFID sedia ada dengan memastikan syarikat pengendali lebuh raya melaksanakan kerja-kerja penalaan (fine tuning) secara lebih kerap.
"Langkah ini bagi memastikan sistem RFID di lorong itu dipertingkatkan selain kesedaran dalam kalangan pengguna untuk memastikan baki mencukupi ketika menggunakan plaza tol," katanya.