Pelajar tingkatan 5 tunggang motosikal tanpa lesen maut kemalangan

oleh Hamimah Hamid|
SEORANG pelajar perempuan tingkatan lima yang menunggang motosikal tanpa lesen maut manakala rakannya cedera parah setelah motosikal yang dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lagi motosikal di Jalan Kubu Gajah, Semanggol, petang tadi.

Dalam kejadian pukul 2.05 petang itu, mangsa, Nurul Hafizatul Syuhada Zinun, 17 tahun yang menunggang motosikal jenis SM Sport meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan parah di kepala.
AION MREC Banner Campaign May 2024

Rakan mangsa yang membonceng, Nurul Fasya Qistina Abu Hassan,17 tahun pula cedera parah di bahagian kepala dan dirawat di zon merah Hospital Taiping.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, dua lagi mangsa yang juga pelajar masing-masing berusia 15 tahun,  menaiki motosikal jenis Demak Spark juga tanpa lesen memandu hanya mengalami kecederaan ringan.

"Siasatan mendapati kedua-dua kenderaan datang dari arah sama iaitu dari Semanggol menuju ke Kubu Gajah. Apabila sampai di tempat kejadian, dipercayai mangsa telah mengubah haluan dari kiri ke kanan untuk memasuki simpang kanan.

"Tiba-tiba datang sebuah lagi motosikal dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa di bahagian tepi sebelah kanan menyebabkan kedua-dua kenderaan hilang kawalan lalu terbabas di atas jalan raya," katanya.  

Ujar Mazuki, kemalangan disebabkan mangsa mengubah haluan dari kiri ke kanan tanpa memberi ruang.

Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.