PELAJAR POSITF COVID DAN BONCENG MOTOSIKAL TANPA LESEN PENUH MAUT KEMALANGAN

oleh Hamimah Hamid|
SEORANG pelajar yang disahkan positif Covid-19 maut selepas motosikal yang diboncengnya terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 109.5 Jalan Ipoh - Butterworth di Bagan Serai malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, rakan sebayanya yang juga positif Covid-19 dan menunggang motosikal dengan hanya menggunakan lesen L patah tangan kanan.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, mangsa yang maut ialah pembonceng, Muhammad Haziq Haikal Hussin,16 tahun, manakala rakan sebayanya Muhammad Amirul Safwan Abdul Haris cedera parah. 

Menurut Superintendan Mazuki, kedua-dua pelajar itu menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 dari arah Pekan Bagan Serai menghala ke arah Taiping.

"Sampai di tempat kejadian, motosikal yang dinaiki mereka telah terbabas dan melanggar pembahagi  jalan menyebabkan kedua -duanya tercampak  ke permukaan jalan.

"Akibat daripada nahas itu, mangsa yang merupakan pembonceng motosikal mendapat kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan maut ditempat kejadian oleh Pegawai Perubatan.

"Rakannya yang menunggang motosikal cedera parah dan telah dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk lanjut," katanya. 

Menurut Supritendan Mazuki, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.