Ura-ura model ini bakal diproduksikan nampaknya terjawab apabila imej model tersebut tanpa sayap belakang muncul di pejabat pendaftaran paten pada pertengahan tahun yang lalu.
Tidak dapat dipastikan bilakah versi produksi GR GT3 ini bakal muncul, namun anda sebenarnya sudah boleh melihat 'model' ini direalisasikan oleh para pelajar sekolah teknikal Jepun NATS yang akan dipamerkan pada acara Tokyo Auto Salon 2023.

Digelar sebagai NATS GR Stance, model yang diinspirasikan daripada GR GT3 ini sebenarnya menggunakan asas daripada Toyota GT 86.
Elemen rekaan daripada GR GT3 turut disekalikan dalam pembinaan model ini, seperti contoh unit lampu belakang melintang penuh, sayap belakang yang besar, rekaan panel badan yang lebih lebar serta tidak ketinggalan struktur diffuser yang agresif.

Aspek mekanikal juga tidak dilupakan, di mana nadi asal akan dipertingkatkan prestasinya dengan beberapa siri modifikasi, seperti contoh penggunaan kit turbo dan ekzos daripada GReddy, serta sistem suspensi dan brek daripada T-demand.
Keempat-empat sudut dipasangkan dengan rim lebar SSR yang dibaluti tayar semi-slick Toyo.

Ruang kabin pula diserikan dengan penggunaan tempat duduk jenis bucket, abah-abah perlumbaan, gugusan meter aftermarket serta roda stereng baharu daripada Sparco.
Hasil kerja para pelajar NATS ini bakal dipamerkan di acara Tokyo Auto Salon 2023 bermula 13 hingga 15 Januari ini.