Pekerja asing maut runtuhan batu di tapak kuari

oleh Hamimah Hamid|
SEORANG pekerja warga asing maut tertimbus dalam runtuhan batu di tapak kuari Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highland, pagi tadi.

Mayat mangsa warga Pakistan, Sohail Sajjad, 36 tahun yang dijumpai di bawah jengkaut berjaya dikeluarkan pada 2.36 petang.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (Jbpm) Perak, Sayani Saidon berkata, mangsa sebelum itu sedang mengalihkan batu dan berlaku runtuhan kecil lalu diarahkan meninggalkan kawasan tersebut.

 

Katanya, mangsa bagaimanapun berpatah balik untuk mengambil barangnya dan ketika cuba melindungi diri ketika berlaku lagi gegaran mangsa telah terperangkap dan tertimbus.

 

“Difahamkan lokasi kejadian berlaku adalah lokasi yang telah lama ditinggalkan, tidak ada kerja-kerja letupan dijalankan dan mangsa bersama dua orang kawannya sedang menggunakan mesin jengkaut mengalihkan batu-batuan di situ.

 

“Apabila dimaklumkan ada runtuhan kecil mereka telah diarahkan meninggalkan kawasan tersebut tetapi mangsa tadi telah keluar cuma dia berpatah balik kerana dikatakan ada barang yang tertinggal. Apabila berlaku runtuhan mangsa dalam usaha cuba menyelamatkan diri dia berlindung di bawah mesin jengkaut dan kita jumpa mayat dengan keadaan tangan terlekat di celah-celah rantai mesin itu,” katanya.

Menurut Sayani, panggilan kejadian diterima pada jam 10.56 pagi dan sepasukan anggota telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.

Katanya, dua anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) serta lima anggota dari Balai Bomba Dan Penyelamat Simpang Pulai menggunakan kaedah manual untuk memecahkan batu bagi mengeluarkan mayat mangsa. 

Mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk tindakan lanjut.

dalam kejadian Mac tahun lalu, dua pekerja kuari maut akibat tertimbus runtuhan batu di tapak kuari dekat Keramat Pulai.

Kejadian sekitar jam 9.15 pagi itu turut mengakibatkan seorang lagi mangsa berusia 35 tahun mengalami patah tulang kaki manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan.