Beliau berkata bagi sabitan kesalahan kecurian atau khianat, pihak pendakwaan perlu membuktikan dengan jelas niat tertuduh serta pemilikan harta curi yang sering menjadi kekangan dalam kes membabitkan kabel rel.
"Sekiranya suspek ditahan berada di kawasan larangan rel tanpa permit, kesalahan pencerobohan lebih mudah dibuktikan berbanding kecurian kabel," katanya kepada BH.
Katanya, walaupun kesan kecurian kabel terhadap sistem rel adalah besar termasuk kelewatan perkhidmatan tren serta risiko keselamatan kepada penumpang, undang-undang lazimnya menilai kesalahan berdasarkan nilai fizikal kabel yang dicuri, seperti harga tembaga, berbanding nilai kerugian operasi dan impak keselamatan awam yang dialami oleh syarikat pengendali.
Jelas beliau, ketiadaan akta khusus menjadikan kecurian kabel sering diklasifikasikan sebagai jenayah kecil sekiranya tidak membabitkan kehilangan nyawa atau kerosakan infrastruktur yang dianggap kritikal, berbeza dengan kes sabotaj yang mempunyai elemen keselamatan negara.
"Undang-undang sedia ada bukan sepenuhnya tidak relevan, tetapi lemah dari segi kesan pencegahan. Hukuman bagi kes pencerobohan biasanya hanya membabitkan denda rendah atau penjara singkat," katanya.
M Reza turut membandingkan sektor rel dengan sektor lain yang mempunyai perlindungan undang-undang lebih tegas, seperti Akta Industri Perkhidmatan Air dan Akta Bekalan Elektrik, yang memperuntukkan hukuman lebih berat bagi gangguan terhadap infrastruktur kritikal.
"Sektor rel masih bergantung kepada Kanun Keseksaan, yang hukuman sedia ada kurang 'menggigit' untuk menakutkan penjenayah," katanya, sambil menambah bahawa tindakan terhadap pembeli barang lusuh yang menjadi penggerak utama ekonomi sindiket juga sukar dilaksanakan dari sudut pendakwaan.
Sementara itu, peguam Wan Azliana Wan Adnan menegaskan undang-undang sedia ada kurang berkesan untuk menangani keseluruhan rantaian jenayah kecurian kabel, termasuk pembeli besi buruk serta pihak yang memudahkan penjualan atau pelupusan kabel curi.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menyemak kadar denda secara berkala supaya selari dengan realiti semasa dan tidak lagi memberi ruang kepada penjenayah mengambil kesempatan.
"Masalah utama bukan terletak pada ketiadaan undang-undang, sebaliknya ketiadaan peruntukan khusus yang tegas dan berorientasikan keselamatan awam," katanya.
Menurutnya, reformasi undang-undang perlu dilaksanakan dengan memperkenalkan hukuman lebih berat serta menjadikan risiko terhadap nyawa dan keselamatan awam sebagai faktor pemberat mandatori dalam pendakwaan dan hukuman.
BH hari ini melaporkan hukuman ringan ke atas pencuri kabel yang disabitkan kesalahan, dipercayai menjadi punca mereka tidak serik mengulangi jenayah berkenaan, meskipun syarikat pengangkutan awam rel rugi besar, manakala orang ramai berdepan kesulitan gangguan perkhidmatan.
Ini kerana hukuman penjara yang dikenakan adalah singkat, manakala denda pula rendah berbanding kadar 'keuntungan lumayan' daripada penjualan komponen kabel yang dicuri oleh individu terbabit.
Ketua Pegawai Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti, Alam Sekitar dan Pembangunan Lestari Kumpulan Prasarana, Idzqandar Abu Bakar, dilaporkan berkata setakat ini, kebanyakan suspek yang ditahan hanya didakwa atas kesalahan menceroboh kawasan larangan.