Pegawai Kanan SPRM bakal terajui JPJ

oleh HEZERI SAMSURI|
MINI MREC Banner Campaign February 2025 - Week 2

 

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia bakal diterajui oleh Ketua Pengarah baru bermula esok yang berpengalaman luas di dalam dasar amalan integriti dan pencegahan rasuah.

 

Datuk Shaharuddin Khalid dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah disebut-sebut akan memulakan tugas barunya (Gred JUSA A) berkuatkuasa 18 September bagi menggantikan Datuk Nadzri Siron yang telah mengetuai JPJ sejak 16 Jun tahun lepas.

 

Nadzri akan memulakan tugas esok di Kementerian Sumber Manusia sebagai Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia dengan Gred Pegawai Tadbir Diplomatik Utama B.

 

Dikhabarkan juga perlantikan Shaharudin telah dipersetujui Menteri Pengangkutan Dato’ Seri Liow Tiong Lai beberapa hari lepas.

 

Antara jawatan Shaharudin sebelum ini di dalam jentera kerajaan adalah Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM dan beliau juga pernah dipinjamkan ke Felda Global Ventures (FGV) sebagai Ketua Unit Integriti dan juga Naib Presiden Tadbir Urus dan Pengurusan Risiko FGV.

 

“Beliau adalah seorang yang sentiasa senyum, tegas, peramah, mudah didampingi oleh pegawai bawahan dan komited di dalam menjalankan polisi-polisi amalan integriti.

 

“Datuk Din adalah seorang yang teliti dan cekap merancang pelan tindakan penguatkuasaan sepertimana minatnya yang mendalam terhadap sukan golf,” kata seorang pegawai SPRM.

 

Careta difahamkan bahawa perlantikan Shaharudin adalah merupakan antara perancangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk meningkatkan lagi imej serta memantapkan lagi pengurusan JPJ susulan kemelut dalaman yang melanda Jabatan tersebut sejak awal tahun ini.

 

Menurut para pegawai tinggi Kementerian Pengangkutan yang dihubungi Careta, mereka amat menantikan ketibaan Ketua Pengarah JPJ yang baru dengan latarbelakang budaya berkerja di SPRM.

 

Dengan harapan yang tinggi, Careta dimaklumkan oleh beberapa pegawai JPJ bahawa mereka amat mengalu-alukan perlantikan Shaharudin.

 

“Kami berharap agar beliau dapat membuat pembaharuan berkesan dan belajar dengan cepat selok-belok rangka kerja JPJ dan dasar transformasi ‘revamp’ JPJ,” kat pegawai tersebut.

 

Apabila ditanya apakah perkara yang perlu diberikan perhatian lebih oleh seorang Ketua Pengarah yang baru, sumber berkata: “Ada tiga perkara penting yang selalu pelanggan, masyarakat dan media mahu kepastian dari pengurusan atasan JPJ – isu cermin gelap, urusan saman-saman kenderaan dan perlesenan dan urusan nombor pendaftaran kenderaan.”

 

Pegawai kanan JPJ itu turut menambah bahawa Shaharuddin perlu juga laksanakan dengan segera Pelan Keselamatan Jalanraya di bawah ‘masterplan’ Kementerian Pengangkutan.

 

"Isu penyeragaman nombor plat kenderaan memerlukan perhatian segera JPJ untuk memastikan perlaksanaan berkesan penguatkuasaan sistem AWAS dan AES,” menurutnya lagi.

 

Oleh Shahrim Tamrin

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Individu terbabit iaitu Zairulnizam Rohani serta Rostam Shahrif Tami sedang cuti sementara, masing…
Berita Domestik
Perintah reman empat hari bermula Sabtu terhadap ketiga-tiga suspek dikeluarkan Pendaftar Mahkamah…
Berita Domestik
"Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai menerima wang rasuah antara RM150 hingga RM1,500…