Pegawai kanan polis langgar pelajar mohon ikat jamin

oleh Hamimah Hamid|
PEGAWAI kanan polis yang berdepan tuduhan membunuh seorang pelajar tingkatan lima pada Disember tahun lalu memohon dibenar ikat jamin.

Susulan permohonan jaminan itu Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini menetapkan 1 Ogos depan sebagai tarikh pendengaran permohonan tersebut.

Hakim, Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet menetapkan tarikh itu selepas peguam bela, Jacky Loi Yap Loong, Lim Chi Chau dan Lim Jin Wen yang mewakili tertuduh, Mohd Nazri Abdul Razak, 45, menyerahkan afidavit pendek.

 

Dalam prosiding tersebut, Bhupindar Singh memaklumkan beliau hanya akan menetapkan tarikh perbicaraan untuk mendengar permohonan usul ikat jamin terhadap pegawai berpangkat Deputi Superintendan itu selepas penghujahan bertulis difailkan oleh kedua-dua pihak.

 

Pada 14 Mei lalu, Mohd Nazri yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan membunuh terhadapnya dibacakan juga di hadapan Datuk Bhupindar Singh.

 

Mahkamah ketika itu menetapkan hari ini sebagai tarikh sebutan bagi kedua-dua pihak untuk menyerahkan afidavit masing-masing.

 

Mengikut pertuduhan, Mohd Nazri didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17 di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati dalam daerah Kinta, Ipoh antara jam 11.45 pagi hingga 12.40 tengah hari, 15 Disember 2023.

 

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara sehingga 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum dengan tidak kurang 12 sebatan.

 

Sebelum ini, Datuk Bhupindar Singh juga sudah menetapkan 30 hari tempoh perbicaraan bagi tuduhan kes bunuh pelajar itu dengan perbicaraan akan bermula pada 4 November depan sehingga 17 Januari 2025.